Sekilas
- Sofyank berjaya menyiapkan dua video travel di Singapura yang menggabungkan konsep sinematik dan VFX bersama rakan-rakannya.
- Proses penggambaran menggunakan konsep 'run and gun' dengan rakaman pelbagai sudut untuk memudahkan penyuntingan video.
- Sofyank berterima kasih kepada semua yang memberi sokongan dan memahami tujuan serta kerjayanya sebagai pencipta kandungan.
Pempengaruh dan pencipta kandungan terkenal, Sofyank meluahkan rasa syukur apabila dapat menyelesaikan komitmen menghasilkan dua video travel di Singapura.
Menerusi video yang dikongsikan di TikTok, Sofyank berkata dia menyedari terdapat persoalan dan perbincangan di media sosial mengenai penghasilan video tersebut.
“Alhamdulillah selesai sudah komitmen saya untuk menghasilkan dua video travel di Singapura. Pada minggu lalu ada beberapa persoalan dan perbincangan yang berlaku di sosial media tentang video tersebut.
“Pertama sekali saya nak ucapkan terima kasih sangat kepada korang yang dah meninggalkan komen-komen yang positif dan juga kata-kata yang membina di posting tersebut.
“Sejujurnya dah lama saya nak buat video travel yang berkonsepkan vfx dan pada tahun ini bila mana dapat peluang daripada Singapura saya terus mengajak kawan saya iaitu Mshaffuan yang kita kenal dia video sinematik dan juga kawan-kawan saya untuk kami sama-sama menghasilkan satu video travel yang menggabungkan sinematik dan juga vfx,” katanya.
Pada perkongsian yang sama, Sofyank turut berkongsi mengenai proses dia dan rakannya dalam menghasilkan video yang menggunakan konsep ‘run and gun’.
“Sedikit saya nak kongsikan tentang proses untuk kami hasilkan video kali ini di mana kami menggunakan konsep ‘run and gun’ di mana kami berpindah daripada satu tempat ke satu tempat lain.
“Kami rakam sebanyak yang mungkin angle yang cantik untuk kita orang masukkan di dalam video untuk memudahkan proses.
“Untuk shooting kali ini, saya dan Shaffuan pergi ke Singapura terlebih dahulu untuk kami dapatkan sebanyak yang mungkin sudut untuk dijadikan rujukan pada hari shooting nanti,” kongsinya.
Sofyank turut meluahkan rasa syukur apabila bertemu dengan rakan-rakan baharu yang membawanya ke tempat-tempat cantik di Singapura.
Akhir kata, Sofyank turut mengucapkan terima kasih kepada semua orang yang memahami tujuan utama video travel tersebut dihasilkan.
Sofyank juga terharu apabila ada segelintir pihak memahami tugas dan kerjayanya sebagai pencipta kandungan.