Sekilas
- FIFA menganugerahkan lima anugerah utama dalam Piala Dunia iaitu Golden Ball, Golden Boot, Golden Glove, Best Young Player Award, dan FIFA Fair Play Award.
- Golden Ball diberikan kepada pemain terbaik, Golden Boot kepada penjaring terbanyak, dan Golden Glove kepada penjaga gol terbaik sepanjang kejohanan.
- Best Young Player Award mengiktiraf pemain muda terbaik manakala FIFA Fair Play Award diberikan kepada pasukan yang menunjukkan semangat kesukanan terbaik.
Bila bercakap mengenai Piala Dunia FIFA, pastinya ada diantaran kita yang memberi tumpuan kepada pasukan mana yang bakal menjulang trofi kejuaraan.
Namun, di sebalik kemeriahan kejohanan bola sepak paling berprestij di dunia itu, FIFA turut mengiktiraf kecemerlangan individu dan pasukan menerusi beberapa anugerah khas yang diberikan selepas kejohanan berakhir.
Berikut lima anugerah utama yang menjadi rebutan setiap edisi Piala Dunia FIFA.
Golden Ball (Bola Emas)
Untuk pengetahuan anda, Golden Ball diberikan kepada pemain terbaik sepanjang kejohanan.
Pemenang dipilih berdasarkan prestasi keseluruhan, termasuk pengaruh terhadap pasukan, kreativiti, kepimpinan, konsistensi serta impak dalam setiap perlawanan.
Menariknya, penerima Golden Ball tidak semestinya muncul sebagai penjaring terbanyak.
Antara pemenang yang pernah menjulang anugerah ini adalah Diego Maradona (1986), Zinedine Zidane (2006), Lionel Messi (2014 & 2022)
Golden Boot (Kasut Emas)
Jika pemain kegemaran anda menjaringkan gol paling banyak sepanjang kejohanan, FIFA akan menganugerahkan Golden Boot kepada pemain tersebut.
Tapi bagaimana jika ada dua atau lebih pemain menjaringkan jumlah gol yang sama?
FIFA akan menetukan pemenang berdasarkan dua perkara iaitu jumlah bantuan gol (assist) dan minit permainan yang lebih sedikit.
Antara pemenang yang pernah menjulang anugerah ini adalah Ronaldo Nazário (2002), Miroslav Klose (2006), Harry Kane (2018), Kylian Mbappé (2022)
Golden Glove (Sarung Tangan Emas)
Anugerah ini diberikan kepada penjaga gol terbaik sepanjang kejohanan.
Pemilihan dibuat berdasarkan aksi cemerlang, jumlah penyelamatan, kepimpinan di benteng pertahanan serta sumbangan membantu pasukan mara jauh dalam kejohanan.
Antara pemenang yang pernah menjulang anugerah ini adalah Oliver Kahn (2002), Iker Casillas (2010), Emiliano Martínez (2022)
Best Young Player Award
Anugerah ini diberikan kepada pemain muda terbaik yang berusia 21 tahun ke bawah pada awal tahun kejohanan berlangsung.
Ia mengiktiraf bakat muda yang menyerlah di pentas dunia dan sering menjadi petunjuk kepada bintang masa depan bola sepak.
Antara pemenang yang pernah menjulang anugerah ini adalah Lukas Podolski (2006), Thomas Müller (2010), Paul Pogba (2014), Kylian Mbappé (2018), Enzo Fernández (2022)
FIFA Fair Play Award
Anugerah ini diberikan kepada pasukan yang menunjukkan semangat kesukanan terbaik sepanjang kejohanan.
Penilaian dibuat berdasarkan disiplin di atas padang, jumlah kad yang diterima, sikap terhadap pegawai perlawanan, pihak lawan dan semangat fair play.
Walaupun bukan anugerah individu, ia dianggap sebagai antara pengiktirafan paling bermakna kerana mencerminkan nilai hormat dan integriti dalam sukan.
Antara pemenang yang pernah menjulang anugerah ini adalah Brazil, Sepanyol, England.
Terbaharu, pemenang Piala Dunia FIFA 2026 juga akan menerima cincin kejuaraan selain trofi tradisional dan pingat emas.
Cincin itu akan dihadiahkan kepada juara selepas perlawanan akhir Piala Dunia Ahad di Stadium New York New Jersey, di mana Sepanyol dan Argentina akan bertarung untuk merebut gelaran tersebut.