Skip to main content

Sukan

JBSN Terus Galak Budaya Aktif, Hari Sukan Negara 2025 Dibawa Ke Perak

Ketua Pengarah

Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), Azura Abidin memaklumkan bahawa pihaknya melihat perkembangan positif dalam kesedaran rakyat Malaysia terhadap gaya hidup sihat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, khususnya selepas tempoh pandemik COVID-19.

Menurut Azura, inisiatif Malaysia Aktif yang digerakkan oleh JBSN bukan sekadar kempen biasa sebaliknya satu gerakan berterusan untuk membudayakan aktiviti sukan dan kecergasan sebagai sebahagian daripada gaya hidup masyarakat.

Advertisement

“Sebenarnya apa yang kami lihat sejak daripada kami di peringkat Jabatan Belia dan Sukan Negara ini menggerakkan inisiatif Malaysia Active ini, sebelum ini pun kita ada banyak saja slogan-slogan yang digunakan untuk menggiatkan dan membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat. 

“Kita melihat dari segi kesedaran rakyat Malaysia, terutama dari segi gaya hidup sihat dan memastikan mereka berada dalam kesihatan yang optimum. Mereka sekarang ini dah lebih gemar kepada acara-acara sukan yang mudah, ringkas dan dengan kos yang minimum seperti jalan kaki, brisk walking, jogging dan acara larian,” katanya.

Menurut Azura, penyertaan masyarakat dalam program anjuran kementerian dan agensi lain kini semakin memberangsangkan. JBSN juga secara konsisten menganjurkan aktiviti berteraskan kecergasan di seluruh negara setiap bulan.

“Kami di peringkat Jabatan Belia dan Sukan banyak melaksanakan program-program berteraskan kepada kecergasan. Setiap bulan kita ada saja program di peringkat negeri yang berkonsepkan larian, jalan kaki dan sebagainya.

“Ini antara aktiviti yang sekarang ini kami lihat semakin trending. Malah sukan baharu seperti pickleball juga semakin digemari ramai,” ujarnya.

Mengulas mengenai Hari Sukan Negara (HSN) 2025, Azura berkata edisi tahun ini tampil dengan kelainan apabila acara pelancaran utamanya dibawa keluar dari Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Tambahnya, langkah membawa penganjuran ke negeri bertujuan mendekatkan lagi sambutan HSN dengan rakyat serta memastikan semangat bersukan dirasai di seluruh negara.

“Untuk Hari Sukan Negara tahun ini, kita bawa keluar daripada KL dan Putrajaya. Sejak diperkenalkan pada 2015, pelancarannya selalunya dibuat di KL atau Putrajaya, jadi kita buat kelainan tahun ini.

“Peringkat kebangsaan kali ini akan diadakan di Ipoh, Perak tepatnya di Dataran Sultan Azlan Shah, Meru, Ipoh,” katanya.

“Kita turun ke bawah untuk bersama-sama dengan rakyat, bersama-sama dengan masyarakat di sekitar Perak. Di samping itu, peringkat setiap negeri juga akan melaksanakan sambutan HSN secara serentak di seluruh negara pada 10, 11 dan 12 Oktober,” jelasnya.

Must-Watch Video

Advertisement