Sekilas
- Color The Night Run 2026 akan berlangsung pada 28 November di IOI City Mall, Putrajaya, dengan harapan jerebu akan reda sebelum acara bermula.
- Acara ini merupakan sambutan ulang tahun ke-10 Ice-Watch Run di Malaysia dan telah mendapat sambutan hangat dengan 4,000 penyertaan batch pertama habis dijual.
- Ice-Watch Run adalah acara fun run yang sesuai untuk semua peringkat usia dan akan memperkenalkan dua koleksi baharu sempena sambutan sedekad jenama tersebut.
Keadaan jerebu yang melanda negara ketika ini turut menjadi perhatian menjelang penganjuran Color The Night Run 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 28 November depan di IOI City Mall, Putrajaya.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan HABIB Group, Datuk Seri Meer Sadik Habib berkata, pihaknya berharap keadaan udara akan kembali pulih sebelum acara berkenaan berlangsung.
“Kami berdoa dan berharap jerebu akan selesai menjelang November. Perkara seperti ini pernah berlaku sebelum ini dan kami sangat berharap keadaan akan kembali pulih.
“Sekiranya masih berlaku jerebu, sudah tentu kami akan mengambil langkah berjaga jaga dan menggalakkan semua peserta mengambil langkah perlindungan yang sewajarnya. Acara ini juga berlangsung pada waktu malam.
“Jadi, kami berdoa dan berharap yang terbaik,” katanya ketika ditemui Gempak pada sidang media Color The Night Run 2026 di IOI City Mall, Putrajaya, baru baru ini.
Color The Night Run 2026 bakal berlangsung pada 28 November depan dengan menggabungkan elemen larian, hiburan dan gaya hidup dalam suasana penuh warna. Tahun ini turut menandakan ulang tahun ke-10 penganjuran acara berkenaan di Malaysia.

Dalam pada itu, Meer berkata, sambutan awal terhadap edisi tahun ini cukup memberangsangkan apabila 4,000 penyertaan bagi batch pertama sudah habis terjual.
Malah, pihaknya menyasarkan sekurang kurangnya 10,000 peserta untuk mengambil bahagian.
“Untuk batch pertama sahaja, sebanyak 4,000 penyertaan sudah habis terjual. Kita akan membuka batch seterusnya tidak lama lagi.
“Daripada situ kita dapat lihat penerimaan terhadap Ice-Watch Run memang sangat baik. Ramai yang menantikan acara ini.
“Tahun ini juga merupakan tahun ke-10 kita menganjurkan Ice-Watch Run. Ia sudah menjadi acara yang cukup kuat untuk jenama Ice-Watch dan mempunyai peminat tersendiri yang menantikannya setiap tahun. Jadi, kami memang sangat teruja.
“Untuk tahun ini, sasaran minimum kami adalah sekitar 10,000 peserta,” katanya.

Menurut Meer, acara berkenaan juga bukan sebuah pertandingan yang terlalu kompetitif, sebaliknya mengetengahkan konsep ‘fun run’ yang boleh disertai pelbagai peringkat usia.
“Ice-Watch Run bukanlah acara larian yang terlalu kompetitif. Ia lebih kepada ‘fun run’ yang boleh disertai oleh seluruh keluarga.
“Anak anak, ibu bapa malah datuk dan nenek juga boleh mengambil bahagian. Kita mahu ia menjadi acara yang boleh dinikmati bersama seisi keluarga,” katanya.

Sempena sambutan sedekad, Ice-Watch Malaysia turut memperkenalkan dua koleksi baharu iaitu Ice Forever dan Ice Smart Forever 2.0 khusus bersempena Color The Night Run 2026.
Meer berkata, selepas 10 tahun berada di Malaysia, jenama tersebut sudah mempunyai kelompok peminat dan pengumpul tersendiri.
“Ice-Watch sudah bertapak selama 10 tahun di Malaysia dan sepanjang tempoh itu, kami menerima maklum balas yang sangat baik.
“Ramai pelanggan akhirnya menjadi peminat Ice-Watch dan setiap kali ada koleksi baharu, mereka akan menantikan apa yang akan diperkenalkan seterusnya.
“Kita mempunyai pengikut tersendiri untuk Ice-Watch termasuk dalam kalangan pengumpul. Setiap kali ada koleksi baharu, memang ada pelanggan yang menunggu,” katanya.

Color The Night Run 2026 dianjurkan Time Zone Sdn Bhd dengan sokongan HABIB Group dan Two Tropics Coffee.