Sekilas
- Muhammad Rafiq Udhaya tekankan rali bukan sekadar perlumbaan laju, tapi perlukan kerjasama kuat antara pasukan untuk menang.
- Rali berbeza dengan perlumbaan litar kerana laluan yang ekstrem dan berubah-ubah, memerlukan persediaan rapi dari pelumba dan pasukan.
- Filem tempatan TERBANG yang diinspirasikan dari legenda rali Karamjit Singh akan tayang di pawagam mulai 17 September, menampilkan dunia perlumbaan rali dan cabarannya.
Bekas juara rali kebangsaan, Muhammad Rafiq Udhaya menjelaskan sukan rali bukan sekadar perlumbaan menentukan siapa paling pantas, sebaliknya memerlukan kerjasama seluruh pasukan untuk memperoleh kemenangan.
Muhammad Rafiq yang juga pasukan Principal MRU Motorsports berkata, rali mempunyai perbezaan besar berbanding perlumbaan litar terutama dari segi bentuk laluan serta cabaran yang perlu ditempuhi pelumba.
“Beza perlumbaan litar dengan rali memang banyak. Dalam perlumbaan litar, anda hanya menumpukan perhatian pada selekoh, gear apa yang digunakan dan kelajuan secara berterusan.
“Tapi rali berbeza. Rali adalah satu sukan permotoran ekstrem dan pertandingan berlangsung dalam peringkat tertutup di trek seperti ladang sawit atau ladang tebu,” katanya dalam siri mini dokumentari di Instagram Astro Shaw.
Menurutnya, keadaan laluan rali juga tidak sentiasa sama sekali gus memerlukan pelumba serta pasukan membuat persediaan rapi sebelum memulakan perlumbaan.
“Rali bukan bermaksud anda hanya perlu laju untuk menang.
“Ia sebenarnya kerja berpasukan yang menjadikan anda seorang juara. Bila satu pasukan bekerja dengan baik, barulah kita boleh dapat keputusan yang bagus dan menang bersama,” ujarnya.
Elemen sukan rali turut menjadi fokus utama dalam filem tempatan TERBANG yang diinspirasikan daripada perjalanan legenda rali negara, Karamjit Singh.
Filem arahan Chiu Keng Guan itu turut mengetengahkan dunia perlumbaan rali termasuk persediaan pasukan, cabaran di trek serta hubungan antara pelumba dan anggota pasukan.
TERBANG bakal menemui penonton di pawagam pada 17 September depan.