The Masked Singer
Siapa 12 Identiti Di Sebalik Kostum? Ini 8 Trivia Menarik Dalam ‘The Masked Singer Malaysia’
Tidak lama lagi ‘The Masked Singer Malaysia’ yang menggunakan format asal program realiti popular dari Korea Selatan, ‘The King of Mask Singer’ bakal muncul di kaca televisyen anda.
Sebuah pertandingan nyanyian berkonsepkan misteri ini akan mempersembahkan kehebatan bakat nyanyian daripada para peserta.
Di sini, Gempak kongsikan trivia menarik dalam ‘The Masked Singer Malaysia’:
1. Kesemua peserta 'The Masked Singer Malaysia' terdiri daripada barisan selebriti popular dari pelbagai industri seperti penyanyi, pelakon, pengacara, tokoh sukan dan ramai lagi.
2. Identiti peserta 'The Masked Singer Malaysia' akan dirahsiakan sehingga mereka disingkirkan. Untuk mengekalkan elemen kejutan, hanya lapan orang sahaja dari bahagian produksi yang diberi amanah mengenali siapa di sebalik topeng atau kostum.
3. Terdapat 12 kostum menarik dan unik yang akan dipakai oleh barisan peserta, iaitu Musang King, Nasi Lemak, Orang Utan, Rajah Brooke, Wau Bulan, Air Batu Campur, Burung Enggang, Ayam Jantan, Rhino Sumatera ‘Reno’, Harimau Belang, Rafflesia dan Bunga Raya.
4. Kesemua kostum direka oleh Akma Suriati Awang. Beliau memiliki lebih 49 tahun pengalaman dalam rekaan dan perundingan fesyen.
Selain berkarya sebagai penatarias industri filem, beliau juga bertanggungjawab untuk rekaan kostum bagi pelbagai produksi teater mega seperti Hikayat Merong Mahawangsa, Siti Di Alam Fantasi, Mahsuri, Puteri Gunung Ledang, dan Chow Kit Road.
5. Konsert mingguan yang berlangsung di Royal Theatre, Shah Alam akan diadakan pada skala yang lebih kecil, melibatkan kehadiran jumlah penonton yang jauh lebih sedikit berbanding program-program lain seperti Maharaja Lawak Mega dan Muzikal Lawak Superstar.
Ini merupakan usaha pihak Astro dalam mematuhi arahan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa termasuklah sentiasa memastikan penjarakan fizikal bagi menjaga keselamatan dan kesihatan para penonton dan semua yang terlibat.
6. Bagi mengekalkan elemen 'rahsia' program, kesemua telefon pintar penonton akan disimpan rapi oleh pihak produksi dan hanya akan diberikan semula sehabisnya program.
Malah, penonton juga perlu menandatangani Perjanjian Kerahsiaan (NDA) sebelum masuk ke sesi rakaman.
7. Pengarah Muzik bagi program The Masked Singer Malaysia adalah pemuzik, penerbit, penggubah dan penulis lirik, Shahnizam Abdul Halim atau lebih dikenali sebagai Shah Slam. Beliau juga telah menghasilkan salah satu lagu tema program ini.
Ikon popular genre rap, Altimet, juga mengambil bahagian menghasilkan lagu tema kedua.
8. Program The Masked Singer Malaysia dimeriahkan lagi dengan siri Live+ yang bakal bersiaran setiap Jumaat, jam 8.30 malam, mulai 18 September 2020.
Live+ yang akan dihoskan oleh Izzue Islam dan Elly Ariffin ini akan menyingkap semula kesemua persembahan setiap peserta di samping berhubung bersama penonton dengan pengisian menarik sepanjang program berlangsung.
Dalam pada itu, seramai sembilan orang figura yang hadir dari latar belakang berpengaruh dalam industri telah diberi penghormatan untuk menduduki kerusi juri tetap.
Mereka adalah Datuk Aznil Haji Nawawi, Michael Ang, Raja Azura, Zizan Razak, Ella Aminuddin, Remy Ishak, Nabila Huda, Ramona Zam Zam dan Angah Raja Lawak.
Manakala, Datuk AC Mizal yang merupakan pengacara tersohor menggalas tugas sebagai hos.
Di samping itu, SK Magic dan Oppo menjadi penaja utama untuk 'The Masked Singer Malaysia'.
Siapakah mereka di sebalik kostum ini? Mungkinkah mereka ini artis dan selebriti kegemaran anda?
Saksikan program yang bakal mencetuskan fenomena ini di Astro Warna (CH127) dan Warna HD (CH107) mulai 18 September ini iaitu pada setiap hari Jumaat, jam 9 malam!
Program ini juga boleh distrim secara eksklusif melalui aplikasi Astro GO dan kemudahan on demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.
Must-Watch Video