TEKNO
Vauxhall atasi titik buta van Combo Cargo
Vauxhall baru sahaja mengumumkan satu sistem kamera baharu iaitu Surround Rear Vision untuk van panel Combo Cargo.
Pengenalan kamera di sekeliling kenderaan membantu meningkatkan keselamatan pemandu dan pengguna jalan raya lain.

Sistem ini membawa manfaat apatah lagi berada di kawasan sesak seperti di bandar dan kebolehlihatan sekeliling membantu pemandu membelok dengan lebih selamat atau mengendalikan pemanduan van.
Sistem kamera Surround Rear Vision bukan hanya menambah baik penglihatan keadaan di belakang tetapi di kawasan titik buta bahagian penumpang van.

Teknologi ini amat penting untuk mengelakkan kemungkinan berlaku kemalangan membabitkan pejalan kaki atau penunggang motosikal sewaktu membelok di laluan selekoh.
Ciri baharu ini membabitkan kombinasi dua unit kamera yang membekalkan jarak penglihatan ke arah belakang dan bahagian sisi.

Kamera pertama dipasang pada bahagian atas pintu belakang untuk pandangan di belakang van. Semasa berundur atau parkir, paparan disiar menerusi satu skrin berukuran 5 inci.
Kamera kedua dipasang pada bawah cermin sisi iaitu di bahagian sebelah penumpang hadapan. Ia membekalkan penglihatan dari sisi ke arah belakang.

Must-Watch Video