Filem Maze Runner: The Death Cure (MRTDC) telah mula ditayangkan pada 25 Januari lalu di pawagam seluruh Malaysia.

Dibintangi oleh Dylan O’Brien, Thomas Brodie-Sangster, Kaya Scodelario, Dexter Darden, Ki Hong Lee, Nathalie Emmanuel dan ramai lagi, filem ini diarahkan oleh Wes Ball.

Kami senaraikan empat sebab anda patut menonton filem MRTDC!

Filem terakhir siri Maze Runner

MRTDC merupakan filem ketiga dan terakhir untuk siri filem Maze Runner. Sebelum ini, karya yang diadaptasikan daripada novel tulisan James Dashner ini pernah mencipta fenomena tersendiri menerusi dua filem pertama, The Maze Runner (2014) dan Maze Runner: The Scorch Trials (2015). Pastinya peminat siri Maze Runner tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan filem ini di pawagam dan melihat kesudahan kisah Thomas bersama rakan-rakannya.

Aksi yang mendebarkan

Filem ketika ini menjanjikan kepuasan penonton kerana ia padat dengan babak aksi. Babak mendebarkan dirangkum dengan kemas biarpun plot penceritaan bergerak agak perlahan. Saksikan bagaimana perjalanan Thomas dan rakan-rakan menyelamatkan Min Ho serta kesudahan kisah hidup mereka.

Semangat ‘brotherhood’!

Hubungan persahabatan yang ditonjolkan watak-watak dalam filem ini tidak boleh disangkal lagi. MRTDC bermula dengan misi Thomas, Newt dan Frypan mencari jalan untuk menyelamatkan rakan baik mereka, Min Ho yang terperangkap bersama WCKD. Tatkala penonton gelisah melihat banyak babak aksi dalam filem ini, elemen persahabatan disampaikan secara tidak langsung untuk menjadi mesej berguna kepada penonton.

Kemunculan semula watak Teresa dan Gally

Watak Teresa dan Gally muncul semula dalam filem terakhir ini. Teresa yang kononnya berpaling tadah akan menimbulkan tanda tanya penonton. Watak Gally yang sudah disangka mati turut kembali semula dalam filem ini. Kemunculan Teresa dan Gally semestinya sesuatu yang menarik dan menambahkan rencah dalam filem MRTDC.

Bagi anda yang meminati siri filem Maze Runner, jangan lupa saksikan Maze Runner: The Death Cure yang sedang hangat ditayangkan di pawagam!

Teks oleh: Kamaruddin Razal