HIBURAN
70 Juri Bakal Dilantik Untuk Nilai Karya Terbaik, Ada Sebab Kategori Baharu AIM24 Diwujudkan - “Langkah Ini Bukan Bertujuan…”
Hampir tiga tahun menyepi, Anugerah Industri Muzik kini kembali dengan penganjuran edisi ke-24 (AIM24) yang dijangka berlangsung pada 13 September depan di Arena of Stars, Genting Highlands.
Kolaborasi luar
Bakal disiarkan secara langsung menerusi RTM selaku penyiar rasmi, kali ini, sebanyak tiga kategori baharu diperkenalkan iaitu Lagu Perpaduan Terbaik, Lagu Tradisional Terbaik, dan paling mencuri tumpuan, Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik.
Menurut Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM24, Rosmin Hashim, kategori baharu ini diwujudkan bagi mengiktiraf karya-karya tempatan yang sebelum ini terpinggir daripada pencalonan disebabkan syarat-syarat lama.
“Kita lihat semakin banyak kolaborasi hebat melibatkan artis dan komposer luar negara. Namun sebelum ini, tiada kategori yang sesuai untuk lagu seperti Masing-Masing nyanyian Ernie Zakri.
"Sayang sekali apabila karya sebegitu tidak dapat dipertandingkan. Jadi, kita wujudkan kategori baharu ini sebagai satu bentuk pengiktirafan terhadap usaha dan kreativiti bakat tempatan yang meneroka pasaran luar,” jelasnya kepada Gempak.
Jelas Rosmin lagi, inisiatif ini tidak sesekali bertujuan untuk membelakangi komposer atau karyawan tempatan.
Iktiraf karya luar
Sebaliknya, ia bertujuan membuka ruang lebih luas kepada kolaborasi rentas negara termasuk dengan pasaran besar seperti China dan India dalam usaha memperluas capaian dan pengaruh muzik Malaysia ke pentas global.
“Langkah ini bukan bertujuan membelakangi komposer dan karyawan tempatan. Malah, hanya dua kategori sahaja diwujudkan bagi mengiktiraf karya luar selebihnya kekal memberi fokus kepada bakat dalam negara,” katanya.
Rosmin turut menegaskan bahawa penganjuran AIM akan kembali menjadi acara tahunan bermula tahun ini, walaupun skala penganjuran bergantung kepada sokongan penajaan.
ARTIKEL BERKAITAN: AIM24 Kembali Dengan 3 Kategori Baharu, Ganjaran Lebih Besar & Pengiktirafan Berterusan Terhadap Keunggulan Muzik Malaysia
“Cabaran utama adalah kos tetapi kami sepakat untuk adakan AIM setiap tahun. Jika tidak berskala besar, kita laksanakan dalam skala lebih kecil.
"Apa yang penting, anugerah ini mesti ada kerana ia sangat dinantikan oleh penggiat industri,” ujarnya lagi.
70 juri
Menjunjung prinsip ketelusan, Rosmin turut memaklumkan seramai 60 hingga 70 juri bebas akan dilantik merangkumi pelbagai bidang kepakaran, termasuk pakar filem untuk kategori video muzik.
“Penjurian adalah proses telus. Markah akan diaudit sebelum diumumkan. AIM bukan sekadar anugerah, tetapi satu penghormatan yang ditentukan oleh pengamal industri muzik itu sendiri. Justeru, nilainya sangat tinggi," katanya.
Pencalonan AIM24 dibuka bermula 4 Jun hingga 4 Julai 2025 untuk lagu atau album yang diterbitkan antara 1 Julai 2022 hingga 31 Disember 2024. Penyertaan boleh dihantar secara atas talian menerusi laman web rasmi AIM.
AIM24 menyenaraikan 31 kategori anugerah termasuk Lagu Rock Terbaik, Video Muzik Terbaik, Lagu Nasyid Terbaik, serta Anugerah Sri Wirama. Pengumuman lima calon akhir setiap kategori dijangka pada Ogos 2025.
Must-Watch Video