Pelakon Hairul Azreen mendedahkan menerima tawaran daripada penyanyi dan pelawak Achey untuk menghasilkan satu single lagu bersama.

Walaubagaimanapun, menurut Hairul dia belum membuat keputusan sama ada nak lakukan atau tidak.

"Achey memang tau saya nak jadi penyanyi. Dia sampai FaceTime selepas saya diumumkan tersingkir dalam The Masked Singer Malaysia.

"Dalam lima minit tu dia gelak saja, dia cakap dari awal lagi tau saya yang pakai kostum Ayam Jantan.

"Achey bangga bila saya buat apa yang saya impikan sejak dulu lagi. Dia siap ajak saya buat lagu sama-sama.

"Achey cakap saya boleh menyanyi. Saya nak fikir dulu, doa minta petunjuk. Sebab impian saya untuk menyanyi depan orang ramai dah tercapai," katanya ketika dihubungi Gempak.

Dalam pada itu, pelakon filem Paskal ini menyatakan dia tidak berasa kekok ketika beraksi di atas pentas.

"Impian memang nak jadi penyanyi. Bila dapat mikrofon ni terus buat macam show sendiri.

"Masa sekolah saya pernah menyanyi masa sambutan hari kantin. Itu yang bila dapat peluang dekat The Masked Singer Malaysia terus all out.

"Macam tak percaya bila ramai cakap saya boleh menyanyi. Tak ada langsung yang cakap tak boleh," katanya lagi.

Minggu kelima menyaksikan Rajah Brooke sekali lagi mengungguli tempat pertama dengan dendangan lagu Romancinta nyanyian asal Mojo.

Manakala, Ayam Jantan pula terpaksa akur berada di kedudukan paling bawah dengan nyanyian lagu Cinta Dewa Dewi dendangan asal kumpulan Spider sekaligus tersingkir.

BACA: Makin Rancak! Berjaya Teka Hairul Azreen, Juri The Masked Singer Malaysia Dapat Kemenangan Pertama

BACA: "Penat Saya Naikkan Nama Jerung Paskal ..." - Hairul Azreen Tak Kisah Dipanggil Ayam Jantan


Datuk Aznil Haji Nawawi, Michael Ang, Raja Azura, Zizan Razak, Ella Aminuddin, Remy Ishak, Nabila Huda, Ramona Zam Zam dan Angah Raja Lawak memainkan peranan sebagai juri tetap.

Pelakon Janna Nick pula dijemput untuk menjadi juri jemputan bagi menggantikan Ella yang tidak dapat hadir pada minggu kelima.

Di samping itu, Datuk AC Mizal yang merupakan pengacara tersohor menggalas tugas sebagai hos.

Program The Masked Singer Malaysia dimeriahkan lagi dengan siri Live+ yang akan dihoskan oleh Izzue Islam dan Elly Ariffin.

The Masked Singer Malaysia yang dibawakan oleh SK magic dan Oppo selaku penaja utama itu bersiaran menerusi saluran Astro Warna (CH127) dan Warna HD (CH107) iaitu pada setiap Jumaat, jam 9 malam.

Program ini juga boleh distrim secara eksklusif melalui aplikasi Astro GO dan kemudahan on demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.