Pelakon Shaheizy Sam mengakui Aidilfitrinya pada tahun ini agak berbeza kerana akan beraya sebagai seorang Ayah.

Menurut Sam, Syawal ini merupakan sesuatu yang istimewa kepada dirinya dan isteri dengan kehadiran anak sulungnya, Syeriv Samheizy yang dilahirkan pada 9 Mei lalu.

"Sebenarnya sudah lama saya menyimpan hasrat untuk mempunyai anak dan saya bersyukur segalanya dimakbulkan.

"Sambutan Aidilfitri pada tahun ini memang berbeza dan lebih seronok sebab kali pertama beraya sebagai Ayah.

"Sudah tentu hari raya tahun ini akan memberikan kelainan dalam hidup saya dan isteri.

"Namun segala persiapan dilakukan secara sederhana kerana sepanjang bulan puasa saya sibuk dengan perniagaan baju Melayu," katanya kepada Astro Gempak.

Sam berkata demikian ketika ditemui pada sesi pengambaran Supertele Baby Bro, di Ayer@8, Putrajaya, baru-baru ini.

Shaheizy Sam dan Syatilla Melvin mendirikan rumah tangga pada 7 Februari 2016 di Bukit Jawi Golf Resort, Nibong Tebal, Pulau Pinang setelah 6 tahun berkenalan.

Namun sehingga kini mereka masih belum mendedahkan wajah Syerif kepada umum.