Sejak kebelakangan ini, kecoh di laman sosial mengenai alat permainan seks yang dijual secara terbuka di cawangan kedai menjual barangan kesihatan dan kecantikan.
Menerusi tinjauan Sinar Harian di sekitar ibu kota, dua daripada enam buah cawangan yang dikunjungi menjual permainan seks berkenaan.
Difahamkan, permainan seks tersebut dijual mengikut kategori, dijual pada harga RM129 dan RM199.
Menurut peguam, Wan Azliana Wan Adnan, penjualan barang tersebut boleh didakwa di bawah Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan kerana mengedar dan menjual barang-barang berunsur lucah.
Kongsi Wan Azliana, jika penjual ditangkap, mereka hendaklah diberi hukuman penjara selama tempoh tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.
“Alat mainan seks ini tidak boleh dijual secara terbuka di kedai mahupun dalam talian.
“Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang bertanggungjawab merampas barangan terlarang tersebut dan dakwa di mahkamah,” katanya.
Sebelum ini, seorang wanita dilaporkan didenda sebanyak RM2,000 gara-gara menyimpan alat permainan seks.
Menerusi laporan yang diterbitkan oleh Astro Awani, seorang usahawan berusia 29 tahun dari Bayan Lepas, Penang menerima hukuman tersebut selepas mengaku bersalah menyimpan 102 alat permainan seks.
Sumber: Sinar Harian