Bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan ke-60 tahun ini, Astro menerusi kempen Negaraku 2017 mengangkat kisah rakyat Malaysia dengan menghargai jasa wira-wira negara.

Mengangkat tema ‘Kita Sama Hero’, Astro berharap dapat membangkitkan perasaan cintakan negara dan memupuk semangat perpaduan di antara masyarakat berbilang kaum.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Astro, Henry Tan, berkata, menerusi kempen Negaraku ini, Astro ingin menghargai jasa masyarakat yang telah berbakti kepada negara tanpa mengharapkan sebarang balasan.

"Kami ingin menghargai jasa wira negara yang jarang sekali dianggap wira, iaitu mereka yang terdiri daripada rakyat biasa seperti jururawat, pelombong, penoreh getah, guru, buruh binaan yang telah berbakti kepada negara tanpa mengharapkan balasan sepanjang tempoh enam dekad ini.

"Kami juga ingin semua rakyat Malaysia dengan latar belakang yang berbeza berkongsi kisah mereka supaya orang ramai boleh mengetahui tentang cerita di sebalik ketabahan dan rasa cinta mereka kepada negara menerusi kisah-kisah menarik yang dikongsikan," katanya.

Mereka yang ingin berkongsi kisah menarik mengenai #kitasamahero boleh menghantarnya menerusi pautan di laman sesawang www.astro.com.my/kitasamahero.

Selain itu, para penonton juga boleh menikmati 40 buah program baharu beserta lebih 90 buah program bertemakan Malaysia yang turut boleh didapati menerusi perkhidmatan on demand, aplikasi Astro Go dan NJOI Now.

Antara program yang bakal menemui penonton pada bulan Ogos dan September ini ialah Anak Merdeka, Road To Nationhood: Formation Of Malaysia (Part 2), #theblackhawkdown, Surviving Borneo, Di Puncak Dunia (Extra Ordinary) Malaysians dan Sixty.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi