Laman Utama
Azira Shafinaz Belajar Hukum Bacaan Al-Quran Untuk...
Pelakon dan penyanyi, Azira Shafinaz akui watak yang dipegang dalam telefilem Penunggang Agama lakonannya sangat mencabar.
Menurut Azira, dia memegang watak sebagai seorang wanita yang kuat pegangan agama dan melibatkan babak membaca dan mengajar kanak-kanak membaca Al-Quran.
"Bagi saya, watak dalam telefilem ini sangat mencabar kerana saya perlu betul-betul belajar mengenai karakter seorang wanita yang kuat agama.
"Terdapat babak di mana saya perlu mengajar budak-budak membaca Al-Quran, jadi, saya perlu tahu membaca Al-Quran dengan bacaan yang betul.
"Ia memang mencabar, apa yang pasti, jalan ceritanya sangat menarik, jelas dan mudah difahami," katanya.
Azira berkata demikian ketika ditemui di lokasi penggambaran Penunggang Agama di Puchong, Selangor baru-baru ini.
Tambah Azira, dia telah menghafal beberapa surah dan banyak bertanya mengenai hukum bacaan yang betul dari mereka yang lebih mahir.
"Saya diberi beberapa surah untuk dihafal sendiri, dalam proses menghafal itu, saya banyak bertanya kepada yang mahir membaca Al-Quran kerana saya bukanlah hebat mengetahui hukum-hukum tajwid dan sebagainya.
"Di set penggambaran kami memang ada yang tahu hukum bacaan Al-Quran, jadi saya banyak merujuk kepadanya," katanya lagi.
Dalam Penunggang Agama, Azira memegang watak sebagai Anna yang berdepan dugaan getir apabila ada anggota keluarganya mengalami gangguan makhlus halus.
Selain Azira, telefilem ini turut menampilkan Zul Ariffin, Nasir Bilal Khan dan Johan Asari, ia dijangka menemui peminat menerusi Astro First pada tahun hadapan.
Must-Watch Video