Nama penyanyi yang berasal dari Brunei Darussalam, Aziz Harun hangat diperkatakan di media sosial susulan isu sebilangan wanita menyimpan gambar passportnya dalam dompet.

Aziz Harun ketika ditemui Gempak berkata, dia tidak kesah jika peminatnya menyimpan gambar tersebut asalkan perkara tersebut tidak memudaratkan sesiapa.

“Saya tahu niat mereka bukan untuk menjadi obses dengan Aziz dan perkara ini juga merupakan sekadar gurauan di kalangan peminat.

“It’s just ‘harmless picture’ yang peminat nak letak di dalam dompet, asalkan niat mereka baik dan bukan untuk terlalu obsessed dengan saya, jadi saya biarkan sahaja.

“Saya juga percaya peminat tahu batas dan limit dan mereka masih ingat Tuhan,” katanya ketika ditemui Gempak.


Berita Trending: Netizen Hairan Kenapa Ramai Perempuan Simpan Gambar Passport Aziz Harun... Ini Sebabnya!


Menerusi artikel yang baru dilaporkan Gempak tentang isu ini, ada sesetengah individu yang mengatakan tidak mengenali dirinya.

Antara komen yang diterima:

"Masalah nya aku ni perempuan jugak tapi dia ni siapa? Kenapa aku tak kenal?

"Aku yang perempuan pun tak kenal siapa dia, apa lagi nak simpan," tulis salah seorang individu tersebut.
Bagaimanapun, bagi Aziz dia tidak terasa langsung dengan komen yang diterima.

“Bila ada orang tanya siapa Aziz Harun ini saya tidak pernah marah, sakit hati atau terasa langsung kerana bagi saya mereka sebut nama pun saya sudah hargai.

“Bagi saya benda itu bagus sebab daripada mereka tak kenal saya mungkin mereka boleh terfikir nak Google saya.

“Jadi daripada itu, saya berharap mereka boleh juga terima karya-karya saya kerana saya lebih suka orang mengenali saya melalui karya saya daripada kenal Aziz Harun.

Sekadar info, Aziz Harun baru sahaja melancarkan LDDT atau Lebih Dari Dirimu Tahu yang ditulis khas buat peminat.