Pengacara nombor satu negara, Datuk Aznil Nawawi mengakui pernah diejek oleh rakan seindustri sebagai ‘tukang tepuk’ semata-mata kerana pada waktu itu, dia masih belum pernah memenangi sebarang anugerah walaupun telah lama berkecimpung dalam dunia hiburan.
Memetik perkongsian Aznil di Studio Sembang bersama pelakon dan hos Amelia Henderson, bekas pengacara Akademi Fantasia itu mendedahkan yang dia kerap menerima ejekan menerusi SMS, selain pemenang anugerah sendiri datang kepadanya dan menghamburkan pertanyaan yang dianggap kurang enak untuk didengar.
“Saya pernah diketawakan di majlis anugerah sebab kalah. Saya dicalonkan… saya dicalonkan bukan sebab kita minta, tapi sebab penganjur yang letak nama kita. Setiap kali saya kalah, saya diejek. Saya dapat SMS yang berbunyi: ‘Jangan beranganlah kau nak dapat’, ‘Padan muka kau’, ‘Tak malu ke kalah tahun demi tahun, tercalon je tak pernah menang’.
“Dan terima kasih kepada orang orang itu. Sejak daripada kejadian tersebut, saya buktikan kerja saya. Saya menang untuk pengacara popular pertama kali pada 2003 dan saya terus menang dan menang sebanyak 10 kali,” katanya lagi.
BERITA TRENDING: “Saya Lihat Usaha Yang Tak Bernoktah Membangunkan Ummah” - Pak Nil
Untuk rekod, sejak 2003, pelbagai anugerah diraih oleh Aznil termasuk Pengacara Terbaik pada Anugerah Seri Angkasa 2004 dan 2005 dan terbaharu, anugerah istimewa yang diberikan pada 2022 menerusi Anugerah MeleTOP.
Sumber: Studio Sembang