Laman Utama
Bakal Berkahwin Esok, Alif Muhaimin Kerap Belajar Mengaji Al-Quran, Jaga Solat
Pelakon dan juara Hero Remaja 2017/2018, Alif Muhaimin mendekatkan diri dengan ilmu agama bagi mempersiapkan diri untuk bergelar suami pada Sabtu nanti.
Kata Alif, 28, sejak sebulan lalu, dia memperbanyakkan amalan sunat selain memperbetulkan bacaan ayat suci al-Quran.
"(Amalan) wajib pun sejujurnya kadang-kadang tertinggal juga dan kena qada balik. Jadi, sebulan sebelum berkahwin ini saya cuba untuk awalkan waktu solat dan menunaikan ibadah sunat lain.
"Selain itu, saya perbanyakkan mengaji al-Quran sebab bila dah kahwin nanti nak membimbing isteri dan keluarga. Sebutan dan lafaz perlu betul," katanya kepada Gempak.
Alif ditemui ketika acara UA Combine Media Exclusive di Celebrity Fitness, Mid Valley pada Khamis.
Tambah Alif lagi, dia pernah mengikuti kumpulan tabligh di sekitar Pantai Dalam dan Bangsar selain belajar mengaji al-Quran bersama kumpulan sokongan secara atas talian.
"Selain belajar sendiri, saya ada juga ikut panduan mengaji secara online di Instagram, mereka ada buat mengaji al-Quran online.
"Kadang-kadang kalau bersama dengan kumpulan tabligh, saya sertai sama mengaji al-Quran selepas solat Dhuha hingga tengah hari. Dari situ boleh perbetulkan tajwid," katanya.
Alif bakal mendirikan rumah tangga bersama pasangan, Nur Fatin Alissa Azam pada Sabtu ini selepas mengikat tali pertunangan pada 29 Oktober 2022.
Must-Watch Video