Pihak polis sudah merakam percakapan usahawan kosmetik terkenal bagi membantu siasatan kes pukul anak angkatnya berusia dua tahun, bulan lalu.

Selain suspek terbabit yang sering mencipta kontroversi menerusi program di saluran media sosial miliknya, polis juga sudah merakam percakapan terhadap empat saksi lain termasuk mereka yang berada di rumah usahawan terbabit di Petaling Jaya.

Berdasarkan maklumat daripada pengadu kes ini, suspek memukul anak angkatnya semasa berada di kediamannya sewaktu ingin merakam gelagatnya sedang menangis untuk tujuan publisiti.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, mengesahkan sudah merakam percakapan suspek dan empat saksi lain berhubung laporan daripada pengadu.

"Pada masa ini pihak polis sudah melengkapkan kertas siasatan dan akan menyerahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya, Jumaat ini, untuk tujuan pendakwaan.

"Kertas siasatan ini turut merangkumi laporan daripada pakar perubatan yang menjalankan pemeriksaan ke atas mangsa atau kanak-kanak terbabit," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Katanya siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Beliau bagaimanapun tidak dapat menjelaskan butiran terperinci mengenai kejadian berikutan kes membabitkan kanak-kanak bawah umur.

Terdahulu, pembantu rumah usahawan kosmetik tersebut membuat laporan polis kerana khuatir sekiranya turut dituduh memukul anak angkat suspek.

Pengadu (pembantu rumah) mendakwa suspek telah memanggilnya masuk ke dalam bilik kasut bersama anak angkatnya itu selain menyuruhnya memukul kanak-kanak terbabit, namun dia tidak mengikuti arahan itu kerana bimbang kanak-kanak terbabit mengalami kecederaan.

Sumber: BHOnline