Seorang bapa berusia 42 tahun mengaku tidak bersalah atas 41 tuduhan merogol, melakukan persetubuhan luar tabii dan amang seksual terhadap anak perempuannya yang berusia 16 tahun sejak Januari hingga Oktober tahun ini.

Memetik laporan Sinar Harian, tertuduh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca hampir dua jam di Mahkamah Sesyen Ampang di hadapan Hakim Nor Hazani Hamzah semalam.

Mengikut 14 pertuduhan merogol, lelaki yang juga pengusaha syarikat pembersihan kecil-kecilan itu didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan dengan anaknya yang berusia 15 tahun 11 bulan ketika itu.

Untuk pertuduhan itu, lelaki tersebut disiasat mengikut Seksyen 376A Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama bersama Seksyen 16(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Bagi pertuduhan tersebut, tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Sementara itu, bagi 18 pertuduhan persetubuhan luar tabii, tertuduh didakwa melakukan kesalahan terhadap anak kandungnya tanpa kerelaan.

Tertuduh disiasat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 16(1) Akta sama yang boleh menjatuhkan hukuman maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Untuk sembilan lagi pertuduhan lain, tertuduh didakwa melakukan amang seksual terhadap anaknya itu dan boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dibaca bersama Seksyen 16(1) Akta sama.

Tertuduh boleh dipenjara tidak melebihi lima tahun dan boleh dikenakan sebatan tidak kurang dari dua kali bagi pertuduhan itu jika sabit kesalahan.

Difahamkan, semua kejadian yang didakwa berlaku di kediaman tertuduh dan di tepi hutan Taman Bukit Utama, Bukit Antarabangsa dalam tempoh Januari hingga Oktober lalu.

Terdahulu, AWANI pada 6 November 2020 melaporkan, perbuatan terkutuk bapa tersebut mula terbongkar apabila mangsa bertindak melarikan diri dari rumah dan pergi ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) pada 1 November lalu sebelum ditahan polis kerana tiada Permit Perjalanan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketika itu, mangsa menceritakan dia ingin pulang ke Kuala Nerang, Kedah kerana tidak tahan dengan perbuatan bapa kandunganya itu.

Sumber & Kredit Foto : Sinar Harian & Astro AWANI