Hari ini warga maya dikejutkan dengan berita menyayat hati apabila seorang kanak-kanak berusia dua tahun disahkan positif virus COVID-19.

Tambah memilukan Muhammad Fateh Aqil Mohd Nazmee turut menghidapi kanser darah Leukemia.

Perkara itu dikongsikan menerusi satu posting di laman Facebook rasmi Persatuan Sokongan Anak-Anak Kanser Pesona.

"Mohon doakan anakanda Muhammad Fateh Aqil 2 tahun 4 bulan yg disahkan positif virus Covid19.

"Fateh, penghidap kanser darah Leukemia , sepatutnya menjalani kitaran kimoterapinya mengikut jadual di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, namun ujian darah yang dilakukan mendapati dia dijangkiti Covid19.

"Mohon didoakan agar anakanda Fateh sembuh dan dapat menruskan perjuangannya," katanya.

Sementara itu menerusi Harian Metro, sumber Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan telah mengesahkan kanak-kanak berkenaan positif Covid-19.

“Dia dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu. Kanak-kanak itu dijangkiti Covid-19 melalui keluarga,” katanya.

Pada masa, tinjauan Gempak di media sosial mendapati berita mengenai adik Fateh mula viral.

Rata-rata daripada mereka menitipkan doa supaya kanak-kanak ini kuat menghadapi dugaan dan terus sembuh daripada wabak COVID-19.