“Memang dia ada tawarkan untuk bagi rumah tapi saya tak nak… buat apa saya nak terima sebab saya dah ada semuanya,” kata bekas isteri Radhi OAG, Nur Shahira Ayu ketika dihubungi Gempak.

Terdahulu, Radhi memaklumkan dia tidak pasti mengenai tuntutan lain daripada bekas isteri namun sudah menawarkan tempat tinggal untuk didiami anak-anak mereka.

Radhi turut meluahkan rasa syukur apabila Ayu mengambil keputusan untuk untuk menyelesaikan kes dakwaan dia mengasari bekas isterinya itu di luar mahkamah tanpa melalui perbicaraan yang lebih panjang.

Bagaimanapun Ayu menjelaskan, dia memilih untuk menyelesaikan kes tersebut secara baik selepas Radhi bersetuju untuk membayarnya sebanyak RM300,000.

Menurut Ayu, Radhi pada mulanya memohon untuk mengurangkan bayaran dengan memberi wang pendahuluan sebanyak RM5,000 dan seterusnya RM500 selama 10 bulan.

“Sebenarnya saya dah penat nak turun naik mahkamah… saya tahu kalau teruskan juga kes ini, ia akan buang masa dan duit memandangkan akan ambil masa dalam empat hingga lima tahun.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes Dakwaan Pukul Bekas Isteri, Radhi OAG Syukur Dapat Selesai Dengan Cara Baik - “Memang Dari Mula Saya Nak…”

“Ada dua cara sebenarnya, satu kalau Radhi mengaku salah, dia akan dipenjara atau denda atau kedua-duanya sekali. Kedua, dia kena beri wang kepada saya dengan jumlah yang saya minta dan namanya tak ada dalam rekod.

“Radhi bersetuju untuk selesaikan dengan cara baik di mana dia akan bagi saya RM300,000 seperti yang saya minta. Ikutkan mulanya dia nak minta kurang, dia nak bagi RM5,000 dulu, kemudian RM500, setiap bulan dalam tempoh 10 bulan.

“Sebelum ke mahkamah bulan hadapan untuk melampirkan laporan polis menarik balik kes, dia kena tanda tangan surat hitam putih persetujuan itu. Kalau tiba-tiba dia tarik balik persetujuan itu, saya akan teruskan kes dakwaan tersebut,” ujarnya.

Terdahulu, perbicaraan kes Radhi yang didakwa memukul Nur Shahira memasuki episod baharu apabila kes itu akan diselesaikan secara baik di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Rabu.

Ia berikutan Nur Shahira iaitu mangsa dalam kes itu mengambil keputusan untuk menyelesaikan kes di luar mahkamah tanpa melalui perbicaraan kes yang lebih panjang.

Justeru mahkamah kemudian menetapkan 24 Julai ini bagi pihak-pihak memaklumkan perkembangan kes selain pada tarikh itu Nur Shahira perlu melampirkan laporan polis menarik balik kes.

Mengikut pertuduhan, Radhi atau nama sebenarnya Muhammad Radhi Razali, 46, didapati dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Nur Shahira Ayu di parkir Emporis Menara D Kota Damansara, di sini, pukul 2.29 petang pada 19 April 2022.

Justeru pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Pasangan itu yang mendirikan rumah tangga pada 14 April 2014 dikurniakan dua anak, Muhammad dan Nur Aisyah masing-masing berusia enam dan tujuh tahun.