Berjaya Turun Berat Badan 15kg, Danny X-Factor Berniat Tambah Cahaya Mata; “Saya Semakin Berumur, Jadi Ini Masa…”
Selepas berjaya menurunkan berat badan, pelakon Danny X-Factor memasang niat untuk menambah seorang lagi cahaya mata pada tahun ini.
Pernah menghiraukan soal berat badan, Danny atau nama sebenarnya Mohd Khardanie Anwa, 42, berkata sudah tiba waktunya untuk dia mengekalkan kesihatan memandangkan anak sulungnya juga masih kecil.
“Dulu mungkin saya memandangkan rendah mengenai perihal ini (kesihatan), namun saya fikir anak saya masih kecil dan saya perlu menitik beratkan soal kesihatan dan mengamalkan gaya hidup sihat.
“Malah, apabila sudah berjaya menurunkan berat badan, saya terfikir mungkin sudah tiba masanya untuk menambah zuriat. Apatah lagi, saya semakin berumur jadi ini adalah masa yang sesuai.
“Semoga perancangan ini dipermudahkan oleh Allah SWT. Malah, saya dan isteri menunggu masa yang lama sebelum dikurniakan zuriat,” kata Danny.
Meneruskan ujarnya, aktor berusia 42 tahun menjelaskan dirinya sering diajukan soalan mengenai berat badan sebelum ditawarkan sebarang watak.
Disebabkan hal tersebut, ia menjadi asbab untuk dirinya bersemangat menurunkan berat badan sebanyak 15 kilogram.
“Apabila saya muat naik gambar di Tik Tok, tak sangka ramai yang tegur dan masih ingat saya sebagai Danny X-Factor. Namun komen yang tak best bila orang cakap bentuk badan dah tak sama macam dulu.
“Dulu berat badan saya 92 kilogram dan kini berat saya 75 kilogram. Itulah yang membuatkan motivasi untuk turunkan berat badan. Selain melakukan senaman, saya juga tidak mengambil gula dalam minuman dan jaga pemakanan.
“Malah, sebelum saya menerima sebarang tawaran berlakon pun, ramai yang bertanya mengenai berat badan. Alhamdulillah, selain berjaya mendapatkan berat badan ideal, saya juga kini lebih bertenaga,” tambahnya.
Undi bintang digital dan content kegemaran Top 5 anda di Gempak Most Wanted Awards 2022 di sini.