HIBURAN
"Bersyukur Dapat Anak Saya Kembali" - Ibu Along Cham
Ibu kepada pelakon dan pelawak Along Cham, Siti Habsah Kadir gagal menahan sebak apabila mengenangkan momen ketika pernah tidak dapat menyambut syawal bersama anak sulungnya itu.
Bagaimanapun, Habsah meluahkan rasa syukur tahun ini dia dapat meluangkan masa bersama anaknya itu dan menyediakan juadah kegemaran puteranya itu.
"Bersyukur sangat-sangat sebab dapat anak saya kembali sebab tak pernah berpisah dengan dia pun.
"Macam-macam dia request. Laksa Johor, rendang, apa sahaja dia minta saya buatkan sahaja. Tak pernah nak kecewakan dia. Tapi tahun lepas bila tak dapat masak untuk dia rasa sedih juga," katanya kepada Gempak.
Siti Habsah ditemui media ketika menemani Along di Mahkamah Majistret Sepang pada Isnin.
Sebagai Ibu, Siti Habsah juga menyatakan tidak pernah berhenti mendoakan kesejahteraan anak-anaknya.
Kata Habsah, meskipun pernah tidak berdua selama setahun, dia tetap mendoakan dan sentiasa membuka pintu kemaafan buat Along.
"Ibu mana yang tak doakan untuk anak dia walau apa pun terjadi, baik buruk dia tetap anak kita dan sentiasa mendoakannya.
“Walau tak pernah jumpa selamat setahun saya tetap mendoakan dia. Kemaafan tetap saya berikan dekat dia," tambahnya.
Sebelum ini, ibu Along mengakui dia pernah berada dalam fasa tidak bercakap dengan anaknya sejak mereka berkahwin pada bulan April tahun lalu.
Menurut Habsah, dia enggan mengulas lebih lanjut mengenai dakwaan telah wujud perselisihan faham yang besar dalam keluarga berpunca daripada kenyataan yang dikeluarkan oleh isteri Along Cham iaitu Afreena Suhaimi.
Must-Watch Video