Laman Utama
Big Stage 2022: Iqbal Dah Terkeluar, Ajai & Siti Nasihat Peserta Yang Tinggal Untuk All Out
Malam semalam menyaksikan penyanyi dan pesohor viral, Iqbal Zulkefli sebagai peserta pertama yang tersingkir daripada program nyanyian Big Stage 2022.
Menerima markah sebanyak 9.2 peratus daripada juri dan 5.56 peratus daripada penonton, Iqbal akur dengan keputusan dan terpaksa berpuas hati dengan perjuangan yang hanya sampai ke minggu kedua sahaja.
Mengulas mengenai penyingkiran Iqbal, juri tetap Ajai berkata, Iqbal merupakan peserta yang tepat untuk meninggalkan pentas Big Stage 2022 bagi minggu lalu.
“Dia merupakan orang yang betul untuk meninggalkan Big Stage 2022… Bukan nak katakan dia tidak betul, tetapi itu sudah peraturannya.
“Bukan hanya pada juri semata-mata, malah orang luar pun tahu apabila mendengar (persembahan Iqbal). Dia ada atau tidak dalam pertandingan, sama sahaja sebab kita masih menjalankan tanggungjawab sebagai juri.
“Sudah-sudahlah dengan kecaman. Setiap individu perlu menjaga maruah masing-masing,” ujar Ajai kepada Gempak.
Dalam masa sama, Datuk Seri Siti Nurhaliza berkata: “Keputusan yang dibuat betul dan Iqbal sendiri mengakui semua ini. Semua harus menerima dan ia merupakan satu hal yang terbaik untuk semua pihak.
“Kepada semua peserta, mereka harus all out. Tiada siapa overshadow sesiapa. Sekarang ini masing-masing perlu tunjukkan kehebatan. Tiada istilah belum bersedia. Apabila berada di atas pentas, kena all out,” ujar Siti.
Bagi menyuntik pembaharuan segar agar, buat pertama kalinya proses pemberian markah oleh panel juri akan dibuat secara langsung atau ‘live marking’ yang mana setiap pemarkahan akan tertera di skrin LED untuk tontonan umum.
Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menjurikan Big Stage 2022 bersama komposer terkenal, Ajai dengan Juri Juara undangan ialah Aina Abdul.
Manakala kerusi juri pedas dan presiden netizen pula masih diisi oleh penyanyi Mas Idayu dan usahawan kosmetik popular, Datuk Seri Vida pada minggu ini.
Dihoskan oleh Alif Satar dan Sherry Al Hadad, tugasan mengacara bagi kapsul Studio Big Stage pula disandang oleh Isha Norsham.
Sementara itu, personaliti ERA, Muna Bella dan Haiqal dari Thinker Studios pula digandingkan sebagai pengacara untuk program Big Stage Live Plus yang akan disiarkan secara serentak sewaktu berlangsungnya konsert mingguan di platform digital.
Penerbitan Big Stage 2022 turut disokong oleh CUCKOO dan OPPO selaku Penaja Utama. Portal Gempak dan aplikasi SYOK turut menghulurkan sokongan selaku Rakan Digital. Manakala ERA pula hadir sebagai Radio Rasmi.
Juara Big Stage 2022 akan membawa pulang wang tunai bernilai RM100 ribu beserta trofi sumbangan Astro. Manakala pemenang tempat kedua dan ketiga pula akan memenangi RM50 ribu dan RM25 ribu beserta trofi. Untuk pemenang tempat keempat, kelima dan keenam juga tidak akan pulang dengan tangan kosong yang mana masing- masing bakal membawa pulang RM15 ribu, RM10 ribu dan RM5 ribu beserta trofi.
Rangkaian program Big Stage 2022 diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dan akan dipancarkan secara eksklusif menerusi saluran Astro Ria (104) mulai 6 Februari serta turut boleh turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan perkhidmatan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.
11 peserta yang bertanding untuk minggu seterusnya ialah Tuah Adzmi, Aisha Retno, Yazmin Aziz, Daniel Chuer, Elica Paujin, Lia Aziz, Megat Rahim, Sofiaa dan Ajoi Zainal.
Terdahulu, penyanyi Sarah Suhairi berjaya merangkul gelaran juara sewaktu penganjuran musim pertama (2018). Bintang Korea Selatan, Han Byul muncul sebagai juara musim kedua (2019). Manakala Azzam Sham pula diangkat sebagai juara musim ketiga (2020).
Must-Watch Video