Apabila Boss bertemu saya dan memberikan satu lagi tanggungjawab untuk saya laksanakan, saya terima dengan hati terbuka. Bukan kerana ingin membodek atau sebagainya, tetapi saya anggap tugasan itu merupakan sesuatu yang saya mampu lakukan dan lakukannya dengan baik.

Menguruskan selebriti bukanlah perkara yang mudah. Banyak perkara perlu diambil kira sebelum kita menguruskan seseorang selebriti itu. Paling utama, kita kena kenal dengan 'produk' yang ingin kita jual. Kita juga kena ada chemistry.



Mungkin bunyinya agak pelik. Kenapa selebriti dianggap produk? Ya betul, mereka bukan barangan, tetapi pada masa yang sama mereka ada sesuatu yang ingin dijual kepada orang ramai - bakat! Sukar untuk menjual bakat kalau kita tidak mempunyainya.

Salah satu tugas saya sekarang adalah untuk menguruskan dua orang selebriti di bawah Gempak, Isha dan Daniel. Masih baru tetapi berpotensi besar. Sangat besar! Sudah beberapa bulan saya bekerjasama dengan mereka hampir setiap hari. Dalam tempoh tersebut juga sedikit demi sedikit saya mula mengenali mereka.



Saya beruntung kerana semua selebriti yang saya uruskan sebelum ini adalah mereka yang sentiasa merendah diri dan ingin belajar. Pada masa yang sama, saya juga dapat belajar perkara-perkara baru daripada mereka. Malah, tidak ramai yang tahu bahawa sebagai pengurus, kita lebih banyak mendapat ilmu kerana kita sentiasa cuba mencari pembaharuan dan mahu memberikan yang terbaik untuk selebriti di bawah pengurusan kita.

Itu adalah sesuatu yang tidak boleh dijual beli. Ilmu yang diperolehi itu banyak cabangnya. Bukan sekadar mengenali selebriti yang diuruskan, kita juga tahu kelemahan dan kelebihan yang mereka ada. Daripada situ, kita memperbaiki kelemahan bersama dan menggilapkan lagi kelebihan yang ada.



Bukanlah sesuatu yang mudah kerana kita juga perlu berada pada level yang sama. Maksudnya, 'we have to be on the same page'! Payah kalau hanya satu pihak sahaja yang bekerja keras, tetapi satu pihak lagi tidak ada apa yang ingin diberikan. Kita perlu bertemu di tengah-tengah.

Isha dan Daniel punya keperibadian yang agak berbeza di antara mereka. Tetapi antara perkara yang sama di antara mereka adalah mahu berjaya dalam bidang pengacaraan. Malah, saya tidak hairan kalau suatu hari nanti mereka juga akan menceburi pelbagai cabang bidang seni lainnya seperti lakonan dan teater dan lain-lain lagi.

Ya, ini tanggungjawab yang besar, sedangkan ada lagi tanggungjawab kerja yang lainnya saya masih merangkak-rangkak. Tetapi kalau tidak berusaha kita tidak akan tahu. Merangkak pun merangkaklah, janji sampai ke tempat yang hendak dituju. Saya pasti ada masanya nanti saya mampu berdiri dan berlari.



Untuk Isha dan Daniel, saya (abang) nak bagitahu satu perkara yang agak penting. Abang garang orangnya, tetapi jangan ambil dan simpan dalam hati. Anda berdua ada sesuatu yang mampu diberikan kepada khalayak.

Fikirlah, daripada ramai yang datang untuk ditemuduga, anda berdua yang dipilih oleh pihak pengurusan. Mereka mesti nampak sesuatu yang istimewa pada anda berdua. Insya-Allah, kita akan buat yang terbaik. So, lets have fun!

Salam Jumaat dan jumpa Lagi!

Bila Badrul Bicara

Kredit Gambar: Instagram

Pandangan dan pendapat penulis adalah hasil karya asli penulis dan tidak mewakili serta tidak mencerminkan pandangan dan pendapat dari Gempak. Gempak tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan atau kesalahan kandungan artikel ini.