Gaya Hidup
Bimbang Tak Mampu Kawal Berat Badan Musim Perayaan? Ikuti Lima Tips Mudah Ini
Hari Raya Aidilfitri bakal menjelang tidak lama lagi. Seperti biasa, sudah tentu ramai yang menyediakan pelbagai juadah untuk dinikmati setelah sebulan berpuasa.
Namun pada masa yang sama, ramai juga yang bimbang dengan pertambahan berat badan akibat tidak dapat mengawal pengambilan makanan di musim perayaan.
Di sini, Gempak senaraikan lima tips mudah seperti yang disarankan oleh pakar nutrisi dan jurulatih kecergasan, Kevin Zahri.
1. Sabar...Makan Dalam Kuantiti Sederhana
Walaupun teruja melihat pelbagai hidangan di atas meja, anda dinasihatkan untuk bersabar, ambil masa untuk menentukan makanan apa yang sepetutnya dimakan dan makanlah dalam kuantiti yang sederhana agar tidak mengganggu sistem penghadaman. Selain itu, pengambilan makanan dalam kuantiti sederhana juga mampu mengelakkan anda daripada melebihi keperluan kalori harian.
2. Minum Air Kosong Secukupnya
Seperti diketahui ramai, air kosong mempunyai banyak kebaikan kepada tubuh. Meskipun sibuk menyambut perayaan, minumlah air secukupnya kerana ia mampu melancarkan sistem penghadaman dan penting untuk sistem metabolisme badan.
3. Kurangkan Pengambilan Makanan Berlemak
Pelbagai juadah seperti rendang, ketupat dan lemang mempunyai kandungan lemak yang tinggi, elakkan daripada mengambil makanan sebegini dalam kuantiti yang banyak kerana ia boleh menaikkan berat badan anda dengan cepat!
4. Alas Perut Dengan Makanan Sihat Di Waktu Pagi
Sebelum memakan makanan lain, anda dinasihatkan untuk makan beberapa biji kurma di waktu pagi. Selain itu, makanan seperti roti gandum penuh, susu rendah lemak dan buah-buahan juga baik untuk dimakan sebelum menikmati hidangan utama seperti lemang dan rendang.
5. Lebihkan Pengambilan Sayur & Buah-Buahan
Kebiasaannya, jarang kita lihat hidangan sayuran disajikan di Hari Raya, namun itu semua terpulang kepada individu. Anda boleh mengambil lebih sayur dan buah-buahan ketika makan di rumah kerana ia mampu membekalkan jumlah serat yang cukup untuk melancarkan sistem penghadaman.
Apapun, pengetahuan sahaja tidak cukup untuk mendapatkan berat badan ideal, ia harus disertai dengan disiplin yang kuat. Semoga lima tips ringkas ini mampu membantu anda dalam mengawal pemakanan di musim lebaran ini.
Selamat Hari Raya, maaf zahir batin untuk semua pembaca Gempak, ingatlah, beraya dalam keadaan selamat. Amalkan penjarakkan sosial, elakkan bersalaman dan lakukan semua langkah yang mampu mencegah penularan wabak COVID-19, kita belum menang!
Sumber : kevinzahri.com
Must-Watch Video