Penyanyi popular, Britney Spears mengumumkan pertunangannya dengan kekasih hati, model dan pelakon Sam Asghari.

Pengumuman tersebut dikongsikan menerusi rakaman video yang dimuat naik di laman Instagramnya hari ini.

“Saya tak sangka!” tulis penyanyi lagu Toxic itu ringkas di ruangan kapsyen sambil meletakkan emoji cincin dan hati.

Memetik laporan People, pengurus kepada Sam, Brandon Cohen mengesahkan berita pertunangan tersebut.

“Pasangan itu merasmikan hubungan yang telah lama mereka jalinkan dan mereka sangat menghargai segala sokongan, dedikasi dan kasih sayang yang dikirimkan kepada mereka,” ujar Brandon.

Britney dan Sam bertemu buat pertama kali sewaktu sama-sama menjalani penggambaran video bagi lagu Slumber Party pada 2016.

Sam, 27, dilahirkan di Tehran, Iran dan berpindah ke Los Angeles pada usia 12 tahun. Manakala Britney pula pernah berkahwin sebanyak dua kali iaitu pada 2004 dan 2007.

Menerusi perkahwinan pertama, Britney mengahwini kawannya Jason Alexander dan perkahwinan tersebut hanya bertahan selama 55 jam. Manakala menerusi perkahwinan kedua bersama penari Kevin Federline, Britney dikuniakan dua cahaya mata iaitu Sean Preston Federline, 16, dan Jayden James Federline, 15.

Terdahulu, Britney yang masih dibawah jagaan bapanya dilaporkan tidak dibenarkan berkahwin dan alat pencegah kehamilan (IUD) turut dipasangkan dalam tubuhnya.