Rasmi! Elon Musk tidak lagi memegang rekod individu paling kaya di dunia kerana gelaran tersebut telah ‘dirampas’ oleh Bernard Arnault.

Meskinya namanya tidak popular, Arnault malah menjadi individu Eropah pertama yang menduduki daftar puncak orang paling kaya versi Bloomberg.

Namun rekodnya menduduki carta orang nombor satu terkaya di dunia itu tidak menghairankan jika melihat kepada rangkaian bisnes yang diusahakannya.

Lelaki berusia 73 tahun itu adalah pemilik brand barang mewah Moët Hennessy Louis Vuitton (LVMH).

Menurut laporan CNN, Arnault kini memiliki kekayaan sebanyak US$ 171 bilion atau RM756.3 bilion, jauh meninggalkan kekayaan Musk. Beliau malah telah lama memegang status individu terkaya di Eropah.

Arnault yang lahir di Roubaix di utara Perancis pada tahun 1949, dilaporkan berjaya mengukuhkan kedudukan LVMH dalam tiga dekad terakhir ini.

Biarpun dunia dilanda pandemik, orang masih berbelanja dan membeli barangan mewah seperti LV.

Di bawah LVMH sendiri, Ranault menguasai 75 label yang antaranya menjual fesyen, barang kulit, minyak wangi, kosmetik, jam tangan, aksesori dan penginapan mewah di hotel.

Sementara pemilik Twitter tersebut dilaporkan memiliki aset sebanyak US$ 164 bilion atau RM725.3 bilion dan pembelian platform tersebut dikatakan belum lagi membantu meningkatkan kekayaan Musk.

Musk malah kehilangan sekitar RM473.2 bilion sepanjang tahun ini.

Meski demikian Musk tetap lebih kaya dari taikun asal India, Gautam Adani (US$ 125 bilion atau RM552.8 bilion) dan bos Amazon Jeff Bezos (US$ 116 bilion atau RM513.0) berdasarkan indeks kekayaan Bloomberg.