Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob meluahkan rasa syukur apabila semua kelonggaran bagi mereka yang sudah menerima dua dos vaksin telah pun diumumkan.

Menurut beliau, kesemua kelonggaran diumumkan itu juga hasil berkat doa semua pihak.

“Berkuatkuasa 10 Ogos ini, pasangan jarak jauh dibenarkan untuk merentas negeri dan daerah.

“Begitu juga kepada ibu bapa yang ingin bertemu dengan anak yang berumur 18 tahun dan ke bawah.

“Seperti yang pernah saya katakan, anak-anak yang sedang membesar tidak seharusnya terpisah terlalu lama daripada ibu bapa,” katanya.

Jelasnya, kelonggaran ini pastinya dapat memberi banyak manfaat kepada institusi kekeluargaan negara.

“Cadangan dan rintihan anda semua terutamanya yang saya baca di ruangan komen akan saya bawa lagi ke mesyuarat seterusnya.

“Insya-Allah, sedikit sebanyak, ia dapat membantu kita semua,” katanya menerusi satu posting terbaru di Facebook rasminya, malam semalam.

Terdahulu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kemudahan bagi individu yang sudah menerima vaksinasi lengkap termasuk kebenaran melaksanakan solat berjemaah di surau dan masjid.

Selain itu, kelonggaran lain diberi termasuklah kebenaran merentas daerah atau negeri bagi pasangan suami isteri jarak jauh selain ibu bapa untuk berjumpa anak-anak di bawah umur 18 tahun.