Hiburan
Cakra Khan Terima Kejutan Gadis OKU, Sempat Jamah Burger ‘Kahwin’ Atas Pentas!
Penyanyi Cakra Khan terharu apabila menerima kejutan daripada peminat setia, Jaheerah Nadzri yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) ketika membuat persembahan di Konsert A Decade Cakra Khan Live In Kuala Lumpur 2.0 di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada malam Sabtu lalu.
Cakra atau Cakra Konta Paryaman,32, berkata, kisah penuh inspirasi mengenai ketabahan Jaheerah atau lebih dikenali sebagai Eerah, yang gigih membantu keluarga mencari rezeki dengan menjual burger, membuka matanya untuk menjadi lebih bersyukur dengan apa yang telah dimiliki.
"Saya pernah lihat video Eerah meniaga burger bersama bapa yang dikongsi oleh seorang teman. Selepas habis kerja, saya tonton kembali video itu di rumah dan ia menarik perhatian saya.
"Ada banyak hal mengenai Eerah ini yang membuatkan saya sedar bahawa, diri ini perlu banyak bersyukur.
"Perkara lain yang saya belajar daripada Eerah adalah kita sentiasa masih ada harapan. Dalam apa juga keadaan, kita masih boleh beri yang terbaik dalam kehidupan kita," kongsinya kepada Gempak.
Berkongsi lebih lanjut mengenai pertemuan dengan Eerah, Cakra turut mengakui terkejut apabila melihat kehadiran gadis itu bersama bapanya, Nadzri Abdul Majid yang muncul di atas pentas.
"Sebelum ini, saya buat panggilan video dengan Eerah dan mengundang Eerah untuk datang ke konsert. Namun, permintaan saya itu tidak dapat dia tunaikan kerana dia sibuk berniaga.
"Tadi (semalam), saya beritahu penganjur bahawa saya mahu berjumpa Eerah di tempat dia berniaga. Namun, tidak dibenarkan kerana perlu berlatih untuk konsert.
"Ternyata saya sengaja diikat jadual sibuk kerana mereka merancang membuat kejutan dengan kehadiran Eerah dan ini kali pertama saya bawa insan istimewa seperti Eerah naik ke pentas.
"Saya terbuka hati mengundang Eerah ke pentas hendak beritahu semua bahawa kita sentiasa ada sebab untuk bersyukur. Dengan kehadiran Eerah, ia menjadi contoh terbaik untuk kita sedar bahawa kita semua punya harapan," katanya.
Dalam pertemuan itu, Eerah membawa burger kahwin untuk dihadiahkan kepada penyanyi pujaannya itu.
Burger itu kemudian sempat dijamah Cakra di atas pentas.
Sebagai balasan, Cakra mendendangkan sebuah lagu istimewa buat Eerah iaitu Jangan Mudah Putus Asa.
Dalam pada itu, konsert anjuran Seven Skies Motion itu turut menyaksikan Cakra berkongsi satu pentas dengan tiga penyanyi undangan iaitu Datuk Seri Rossa, Dayang Nurfaizah dan Judika.
Sepanjang tiga jam beraksi, penyanyi yang bakal meraikan ulang tahun ke-32 pada 27 Februari ini menghiburkan hampir 3,000 penonton dengan 20 lagu termasuk medley.
Berita Trending: Ada Individu Nak Boikot Konsert Cakra Khan Di KL, Ini Reaksi Tuan Badan!
Antara lagu yang didendangkan adalah Mencari Cinta Sejati, Setelah Kau Tiada, Salah Tapi Baik, Kepada Hati, Rindu Tak Bersuara, Kamu Adalah, Kekasih Bayangan dan Harus Terpisah.Bukan itu sahaja, Cakra juga menyanyikan lagu Seluruh Cinta yang disampaikan secara duet dengan anak saudara Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ummi Umairah atau Umai.
Berita Trending: “Bila Cecah Umur 16, Dia Akan Jadi Monster” - Ramli MS Puji Bakat…
Konsert solo kedua Cakra di Malaysia itu turut diiringi orkestra di bawah pimpinan maestro tersohor, Datuk Ramli MS.Must-Watch Video