Bagi peminat watak Upin dan Ipin, kemunculan filem terbaharu, Upin Ipin: Keris Siamang Tunggal dinantikan di pawagam tidak lama lagi.

Siri kartun TV popular ini dibawa ke layar perak menerusi Geng Pengembaraan Bermula pada tahun 2009.

Bagi penulis skrip, Nor Anira Haris, tarikan utama filem terbaharu kali ini adalah cerita rakyat yang diolah kembali ke dalam filem.

"Filem ini mengembalikan benda lama yang kita tinggalkan seperti keris. Selain menghiburkan kanak-kanak, ia juga mengingatkan penonton dewasa terhadap kisah-kisah rakyat yang pernah diceritakan pada zaman kanak-kanak mereka dahulu," katanya kepada Astro Gempak.



Akuinya, kisah-kisah rakyat menjadi formula dalam filem ini yang memberi kekuatan pada plot penceritaan yang mahu disampaikan pada penonton.

"Sebenarnya kita perlu yakin kita boleh maju dengan acuan sendiri tanpa perlu menjadi watak antarabangsa lain.

"Antara cerita rakyat dalam filem ini seperti Mat Jenin, Batu Belah Batu Bertangkup, Raja Bersiong dan Belalang diolah jadi menarik. Ia juga tentang sejarah dan selebihnya kena pergi tengok di pawagam," katanya.



Nor Anira yang juga Pensyarah di Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA), Universiti Teknologi Mara (UiTM) menjelaskan pembangunan skrip filem ini sudah bermula sejak tahun 2016 yang menggunakan antara 60 juruanimasi dalaman di produksi Les' Copaque Production sepenuhnya.

"Filem ini turut mengambil masa lama untuk proses research and development," katanya.

Plot filem ini mengisahkan bagaimana Upin dan Ipin bersama rakan-rakannya terperangkap dalam keris mistik yang dijumpai dalam bilik stor Tok Dalang. Mereka mengembara sehingga ke dunia lain lalu bertemu dengan watak popular dalam hikayat cerita Melayu seperti Mat Jenin dan Belalang.

Filem ini akan ditayangkan pada 21 Mac depan.

Teks oleh: Elrafaei Sapi