Aktor berprofil tinggi Chow Yun Fat mengalami kecederaan pada bahagian wajah selepas ditampar sebanyak 62 kali daripada rakan pelakon.

Kecederaan tersebut merupakan ‘bayaran’ kepada dedikasi Yun Fat terhadap dunia lakonan apabila tidak menggunakan pelakon pengganti atau helah kamera menerusi salah satu babak aksi dalam filem terbaru lakonannya, Don't Call Me God of Gamblers.



Menerusi snippet yang dikongsi di Weibo, aktor berusia 68 tahun tersebut dilihat melalukan sesi latihan dengan rakan pelakon, Kenny Wong.

Yun Fat menolak untuk menggunakan khidmat pelakon pengganti atau ditampar secara perlahan. Beliau sebaliknya sempat mengarahkan Kenny Wong untuk menamparnya dengan cara yang ‘betul’.

Meski Kenny Wong berasa kurang selesa, namun dia melakukan adegan tersebut seperti yang diminta oleh bintang veteran tersebut.

Don't Call Me God of Gamblers dihasilkan pada 2019 namun akan menemui penonton di China bulan ini. Ini juga menjadi filem pertama Yun Fat selepas lima tahun tidak muncul di layar lebar.