Cik B Seronok Ada Kawan Perempuan - “Saya Boleh Tonjol Sisi…”
Anak kepada usahawan terkenal, Datuk Seri Vida, Cik B mengakui dia berasa gembira kerana kini dikelilingi oleh kawan perempuan setelah sekian lama hanya berkawan dengan lelaki.
Katanya, dengan adanya kawan perempuan dalam kehidupannya, dia berasa lebih bebas untuk menonjolkan sisi kewanitaannya yang sebelum ini jarang diketengahkan.
“Ini sesuatu yang menyeronokkan bagi saya sebab selalunya saya hanya ada kawan lelaki, tapi sekarang saya ada kawan perempuan.
“Jadi, saya boleh tunjukkan sisi kewanitaan yang ada dalam diri saya. Saya rasa macam kita ‘Baddie’.
“Kami juga ada group WhatsApp yang sentiasa meriah. Kami sering berkongsi pelbagai info, kata-kata motivasi dan saling memberi sokongan antara satu sama lain,” katanya kepada Gempak ketika menghadiri sidang media pelancaran lagu raya dan muzik video Gen-Z yang berlangsung di Getai @ A Quiet Place, Bukit Bintang baru-baru ini.
Dikhianati kawan sendiri
Dalam pada itu, Cik B turut mengakui bahawa dia selesa berkawan dengan Qadejah, Ara Aziz, dan Alyssa Dezek serta merasakan hubungan persahabatan mereka terjalin secara ikhlas.
Bagaimanapun, dia turut berkongsi pengalaman pahit apabila pernah dikhianati oleh rakan sendiri.
Namun, dia enggan mengulas lanjut kerana menganggap perkara itu sebagai cerita lama yang tidak perlu diungkit lagi.
“Tahun ini saya rasa sangat seronok sebab dapat jumpa kawan macam mereka. Sebelum ini, saya selalu jumpa kawan yang mengambil kesempatan terhadap saya.
“Mereka juga memahami perasaan saya, dan saya pun dapat memahami perasaan mereka.
“Pada tahun 2024, saya pernah berkawan dengan seseorang yang menikam belakang saya dan mencuri barang saya. Saya tak tahu apa masalah dia, tapi saya tak mahu cakap lebih lanjut. Biarlah perkara itu berlalu.
“Sebenarnya, cerita ini dah lama. Kalau saya cerita nanti, dia akan cakap saya buka balik aib dia. Tapi, apa yang boleh saya katakan, barang yang dia curi ialah Balenciaga saya,” kongsinya.
Memilih kawan yang sekufu
Pada masa yang sama, Cik B turut menyatakan dia kini mahu mencari rakan yang sehaluan dalam pemikiran, bukan hanya melihat dari segi kekayaan semata-mata.
Bagi dirinya, dia mahu dikelilingi oleh kawan yang memahami visi serta aspirasinya dalam dunia seni dan perniagaan.
Oleh itu, dia berharap dapat bertemu dengan individu yang benar-benar menyokong impian dan hala tujunya.
“Lepas ni, saya nak cari kawan yang mempunyai pemikiran yang sama dengan saya, bukan hanya dari segi kewangan. Saya mahu kawan yang memahami dunia industri seni, perniagaan, dan apa yang saya mahu lakukan.
“Mungkin ada orang yang rasa apa yang saya nak buat ni ‘cringe’, tapi mereka semua faham saya,” jelasnya.