Pelakon jelita Rita Rudaini mendedahkan dia menerima tawaran berlakon daripada producer terkenal tanah air, Zeel Production meskipun belum menerima suntikan vaksin.

Namun menurut Rita, peluang untuk kembali berlakon itu masih di dalam fasa perbincangan dan dia masih belum buat sebarang kata putus untuk menerimanya memandangkan banyak pihak yang tidak senang hati dengan tawaran yang diperolehi.

“Sejak semalam viral bila produser @hj.zil (pemilik Zeel Production) nak ambil saya berlakon projek dia. Ramai yang tidak senang duduk nampak.

“Jangan risau, saya belum beri kata putus lagi. Masih dalam perbincangan. Tapi kalau itu yang tertulis rezeki saya, saya tidak menolak rezeki dari Allah SWT,” kata Rita menerusi satu hantaran di IG Story miliknya.

Dedah pelakon berusia 46 tahun itu lagi, dia sebenarnya telah menerima pelbagai tawaran lakonan sejak sebelum puasa lagi, namun terpaksa ditolak atas komitmen lain.

“Saya nak beritahu sikit dekat netizen-netizen yang panas punggung lagi busuk hati. Sebelum puasa lagi dah ramai produser mesej ajak saya berlakon.

“Tapi saya menolaknya cara baik kerana saya ada perkara lain yang perlu diselesaikan dan diberi perhatian. Jadi tak payah goyang dengan saya,” katanya.

Selain daripada netizen, Rita turut memaklumkan ada rakan-rakan artis yang tidak berpuas hati apabila dirinya ditawarkan peluang untuk kembali berlakon.

Hal itu berikutan status dirinya yang masih belum menerima vaksin COVID-19.

“Nampaknya ada artis yang berbunyi bila ada produser cari saya. Awat? Takut kena COVID sebab saya tak vaksin katanya. Sebelum ni dia kena COVID dari siapa? Bukan ke dah berdose-dose cucuk?” soal Rita.

Malah, Rita rela meminta pihak produser untuk memberikan watak yang ditawarkan untuknya kepada selebriti tersebut.

“Berilah watak saya untuk artis yang bising tu. Mana tahu senyap sikit,” perli Rita.

Sekadar info, Rita yang menggelarkan dirinya sebagai ‘prosafe’ cukup terkenal dengan keterbukaannya menolak suntikan vaksin.

Terdahulu, pelakon Mami Jarum itu pernah digugurkan daripada produksi drama 100 episod kerana masih belum mengambil suntikan vaksin.