Laman Utama
Daripada Pengarah I-Tanggang & Keluarga Iskandar, Astro Original Persembahkan Siri Baharu, Jack Yusof
Selepas mencuri tumpuan dengan pelbagai genre drama kualiti premium seperti Projek High Council, One Cent Thief, Liar dan Kudeta, Astro Originals kembali dengan siri terbaharu berjudul Jack Yusof.
Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, Jack Yusof bakal mempersembahkan genre dan mood berbeza jika dibandingkan dengan deretan drama di bawah jenama Astro Originals sebelum ini.
“Kali pertama kami bekerjasama dengan produksi KL Motion Pictures Company adalah menerusi drama premium I-Tanggang, dan lanjutan daripada kolaborasi baik tersebut, hubungan strategik diteruskan menerusi projek terbaharu, Jack Yusof.
“Siri Astro Originals ini membawakan genre dan mood berbeza jika dibandingkan dengan deretan drama di bawah jenama Astro Originals sebelum ini. Memahami kehendak penonton, kami cuba membawakan variasi kandungan dan percaya Jack Yusof mampu memikat hati menerusi jalan ceritanya yang amat dekat dengan masyarakat Malaysia dengan meneroka dinamik hubungan famili, kematangan peribadi dan kemaafan.
“Genre komedi dan kekeluargaan sememangnya forte pengarah Wan Hasliza, jadi harapan kami Jack Yusof mampu mencipta fenomena dan menjadi drama pilihan keluarga,” katanya.
Sementara itu, pengarah, penulis skrip dan pemilik idea asal Jack Yusof, Wan Hasliza Wan Zainuddin berkata, idea menghasilkan Jack Yusof tercetus selepas melihat situasi sahabatnya sendiri.
“Saya yakin isu wali dan elemen hubungan ibu bapa yang terlerai jarang didedahkan. Saya cuba menyampaikan isu tersebut sebagai subjek utama dalam Jack Yusof.
“Meskipun masih menerapkan elemen kekeluargaan seperti naskhah terdahulu, namun saya tampilkan kelainan dari sudut produksi, kerana untuk menggambarkan Jack Yusof adalah seorang bintang filem yang besar, maka kami harus memaparkan beliau ramai peminat serta bekerja dalam set penggambaran, jadi penonton dapat lihat di sebalik tabir penggambaran. Kami harap penonton akan terhibur dengan Jack Yusof,” katanya.
Jack Yusof menyaksikan kemunculan semula Datuk Rosyam Nor sebagai watak utama menerusi drama bersiri selepas lebih 10 tahun. Rosyam membawakan watak komedi sebagai Jack Yusof iaitu seorang aktor senior yang popular, namun masih kelihatan muda kerana kerap menggunakan suntikan botox.
Walaupun hidup dalam kemewahan dan digilai ramai, tetapi Jack banyak melakukan kesilapan dalam kehidupan peribadinya, termasuklah meninggalkan anak perempuannya, Aida ketika masih bayi. Selepas beberapa tahun, Aida tiba-tiba muncul menghubungi Jack dengan satu tujuan.
Selain Rosyam, siri ini dibintangi Sharifah Husna, Raja Ema, Rashidi Ishak, Hafiz Halim, Fadlan Hazim, Adriana Adnan, Loganathan Kanabathy, Syed Muhammad Baqir, Uncle Samsuri dan tidak ketinggalan penampilan istimewa oleh Che Puan Sarimah Ibrahim, Raja Azura, Zain Hamid, Angeline Tan, Zarina Anjoulie, Steve Yap, Taufik Hanafi, Dian Fernandez, Maca (Marsya), Haidar Hasanuddin dan Amy Nur Tinie.
Drama 8 episod ini akan mula menemui penonton di platform On Demand dan Astro GO bermula 17 Jun, setiap Sabtu bermula jam 12 tengah malam dan di Astro RIA saluran 104 bermula 26 Jun, setiap Isnin, jam 9.00 malam.
Must-Watch Video