BERITA
Dendam Sering Diejek Suka Cari Perhatian, Remaja Bunuh Rakan
Seorang remaja lelaki di Lampung Tengah tergamak membunuh sahabatnya sendiri hanya kerana tidak tahan diejek sebagai suka 'cari perhatian' di hadapan rakan-rakan lain.
Suspek yang dikenali sebagai RKH,19, kini berdepan kemungkinan hukuman mati selepas didakwa membunuh rakan karibnya, remaja berusia 16 tahun dikenali sebagai R.
Timbalan Pendakwa Raya, Yosua Berlian Rante Allo dari Bahagian Intelijen Pejabat Pendakwa Negeri Lampung Tengah memaklumkan bahawa kertas siasatan kes itu telah lengkap dan akan dibawa ke Mahkamah Negeri Gunung Sugih dalam masa terdekat.
“Pihak kami telah menerima suspek bersama barang bukti daripada pihak polis dan akan segera mengemukakan pendakwaan di mahkamah,” katanya pada Rabu, lapor Liputan6.
Menurut pihak pendakwa, hasil siasatan mendapati pembunuhan itu bukan berlaku secara spontan.
Berdasarkan keterangan saksi, hasil bedah siasat dan pengakuan suspek sendiri, pembunuhan berkenaan dirancang sejak awal lagi.
“Unsur perancangan dalam kes ini amat jelas. Ia bukan tindakan terburu-buru akibat emosi, tetapi melibatkan niat, motif dan persiapan yang rapi oleh suspek,” jelas Yosua.
Jelasnya lagi, pihak pendakwa akan memberi keutamaan kepada pendakwaan di bawah Seksyen 340 agar suspek boleh dikenakan hukuman maksimum, iaitu hukuman mati jika sabit kesalahan.
Ketua Bahagian Intelijen Kejaksaan Negeri Lampung Tengah, Alfa Dera memaklumkan bahawa suspek dipercayai dendam selepas berasa terhina apabila mangsa menggelarnya sebagai suka cari perhatian di hadapan rakan-rakan yang lain.
Kata-kata itulah dipercayai menjadi pencetus utama kepada tindakan kejam suspek yang akhirnya membawa kepada tragedi berdarah.
Hasil siasatan polis mendapati kejadian berlaku apabila suspek mengajak mangsa ke sebuah sungai pada 7 April 2024.
Ketika berada di lokasi, suspek dipercayai memegang kepala mangsa lalu menenggelamkannya ke dalam air hingga mangsa lemas.
RKH akan didakwa di bawah beberapa seksyen berat, antaranya Seksyen 340 Kanun Keseksaan Indonesia berkaitan pembunuhan berencana, Seksyen 338 (pembunuhan biasa), Seksyen 351(3) (kecederaan yang menyebabkan kematian), serta Seksyen 80(3) juncto Seksyen 76C Akta Perlindungan Kanak-kanak Tahun 2014.-Agensi
Sumber: Sinar Harian
Must-Watch Video