Gaya Hidup
"Dengan Rendah Diri Saya Merayu Majlis Perbandaran Selayang..." - Ustaz Ebit Mohon Bantu
Ada ketikanya kita tidak dapat membantu kerana ianya di luar bidang kuasa yang kita ada. Mungkin itu yang dirasakan oleh penceramah, usahawan dan dermawan, Ustaz Ebit Lew apabila berdepan dengan seorang pakcik yang berniaga jagung.
Dalam satu perkongsian di Instagram miliknya, Ustaz Ebit Lew berasa sedih apabila melihat satu video tentang seorang pakcik yang berniaga jagung.
"Semalam tengok video pakcik ini tengah berniaga jagung di selayang jaya Pakcik rabun 90 peratus tak nampak. Cuma 10 peratus tinggal. Nampak bayang jer. Muka semua dah takleh nampak.
"Kasihan rasanya. Berniaga jagung disitu dah 5 tahun. Dari dulu ini jer kerjanya cuma di tempat lain. Anak semua masih sekolah. 5 masih belajar lagi. Semua rajin-rajin. 2 orang di universiti. Ada anaknya yang cuti sekolah bawa food panda," tulis Ebit Lew.
Menurut Ustaz Ebit Lew, perolehan pendapatan pakcik tersebut hanya RM50 sehari jika jagungnya habis dijual. Namun yang menyedihkan, dalam tempoh seminggu sudah tiga kali semua jagungnya dirampas.
"Yalah berniaga di situ salah sebab tiada lesen. Tapi saya rasa kasihan padanya. Baik pakcik ni. Saya tak salahkan sesiapa cuma terfikir macam mana nak bantu pakcik ini.
"Dengan rendah diri saya merayu Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dapat membantu pakcik ini. Segala pertolongan kepada pakcik ini saya dahulukan ucapan terima kasih. Rezeki dan ujian masing-masing," tulis Ebit Lew lagi.
Tambah Ustaz Ebit lagi, sebagai saudara adalah menjadi tugas kita untuk membantu. Beliau turut menghadiahkan wang sebanyak seribu ringgit kepada pakcik tersebut.
"Pakcik ini dan isteri berniaga buah sikit jer tepi jalan. Mereka kenal saya. Katanya dapat jumpa ustaz dah bahagia. Gembira rasa. Pelukan dengan tangisan sebak.
"Bila saya tanya apa saya boleh bantu. Pakcik ni taknak apa-apa dari saya," tulis Ebit lagi pada satu entri video di Instagramnya itu.
Ustaz Ebit Lew turut mendoakan semoga Allah mempermudahkan rezeki pakcik dan makcik tersebut bersama anak-anak mereka.
Entri video yang dimuat naik Ustaz Ebit Lew tersebut mendapat hampir setengah juta tontonan dan lebih 1,500 komen.
Must-Watch Video