Mencecah tontonan sebanyak 3.5 juta dalam masa satu bulan tayangan, lagu Casablanca nyanyian Nuha Bahrin dan Naufal Azrin semakin diterima peminat.

Terbaru, dua penyanyi muda itu memaklumkan bakal mengeluarkan lagu yang sama di dalam versi Arab sepenuhnya.

“Selepas kejayaan lagu ini yang diterima peminat, sekarang ini perancangan terbaru kami adalah untuk mengeluarkan lagu ini di dalam full Arabic version.

“Doakan segala prosesnya berjalan dengan lancar, Insyallah akan siap dikeluarkan sepenuhnya pada bulan Ogos macam tu, yang pasti tahun ini.

“Harapnya lagu versi itu akan diterima oleh peminat negara Timur Tengah pula, memandangkan lagu versi sekarang telah diterima baik oleh beberapa negara seperti Indonesia, Singapura dan Brunei.

“Jadi kali ini kami rasa mengapa tidak kita mencuba market luar pula kan dan sekarang dalam proses buat lirik dan tunggu sikit saja lagi siap,” kata mereka.

Lagu ciptaan komposer Daqmie itu mengisahkan dua insan yang sedang bercinta dalam mengenali hati budi dan perasaan masing-masing.

Tidak pernah menyangka lagu tersebut bakal menjadi hit terutamanya di platform TikTok, Nuha dan Naufal bersyukur serta melahirkan ucapan terima kasih kepada peminat.

“Alhamdulillah, kami sangat bersyukur atas segala sokongan yang kami dapat dari semua peminat dan memang sangat tidak menyangka sampai ke tahap ini.

“Terima kasih banyak kerana menyokong Casablanca dan teruskan strim lagu ini untuk lebih lagi,” tambah dua penyanyi kecil molek itu.

Nuha dan Naufal ditemui selepas siaran langsung program popular MeleTop yang bersiaran langsung di Studio 1, Astro Bukit Jalil, semalam.

Casablanca kini boleh didapati di semua platform digital seperti Youtube, Spotify, Apple Music, Joox dan Deezer.