Skip to main content

Reviu

Di Mana Kelebihan Honda CBR1000RR Fireblade SP Ini?

honda-fireblade-cbr1000r-drebar-mi_1.jpg

Buat yang gemar motosikal kategori superbike, selalunya jenama yang bermain di dalam kepala anda semestinya model dari Jepun, Jerman dan Itali.

Ketiga-tiga motosikal daripada negara itu masing-masing mempunyai ciri dan karakter berbeza, ada yang mementingkan kelajuan, pengendalian serta jenis enjin.

Dalam ruang tunggang uji kali ini, penulis diberi peluang untuk menguji jentera yang cukup padu dalam keluarga Honda iaitu CBR1000RR Fireblade SP.

Sebenarnya ada lagi yang betul-betul mantap dalam keluarga CBR, ia membabitkan model CBR1000RR-R SP 2020 yang dilancarkan di Malaysia pada awal tahun ini.

Kita lupakan pasal CBR1000RR-R SP 2020 itu, dan kita tumpukan kepada jentera tunggang uji ini.



Tanggapan Pertama

Ketika melihat jentera ini, boleh katakan ia cukup sesuai dengan ketinggian penulis dengan 1.63 meter. Ini kerana secara pandangan kasar ia nampak rendah.

Namun selepas cuba duduk dipelananya, barulah penulis sedar jentera ini sebenarnya cukup tinggi untuk kaki sampai pada permukaan jalan. (Terus rasa tak sedap hati nak bawa)

Hampir setengah jam juga penulis ‘berperang’ untuk menyesuaikan dengan gaya tunggangan dengan jentera ini, lebih-lebih lagi ketika menunggang di jalan raya yang sibuk dengan kenderaan lain.



Di mana kelebihan Honda CBR1000RR Fireblade SP ini?

Kelebihan jentera ini ada banyak faktor, yang pertama penulis boleh katakan pada aksesorinya. Superbike ini sebenarnya banyak jajan yang berjenama seperti suspensi Ohlins dan brek Brembo dihadapan untuk meningkatkan prestasi kawalan serta kuasa membrek lebih mantap.

CBR1000RR Fireblade SP menggunakan Suspensi Kawalan Pintar Elektronik Öhlins yang dikawal sepenuhnya oleh eletronik.

Sebab itulah, ia dijual sedikit mahal dengan harga RM114,999, namun ia sangat berbaloi bagi mereka yang tahu nilai jentera ini.

Keduanya pula, adalah berhubung prestasi enjinnya. Biarpun hanya bersesaran 998cc, prestasinya cukup terbaik dengan output sehingga 189hp pada 13,000rpm dan tork setinggi 114Nm pada 11,000rpm.

Jika anda memiliki jentera ini, tiada apa yang perlu ditambah cuma ekzosnya sahaja yang kurang kedengaran dan perlu ditukar jika mahu bunyi seperti jentera lumba.



Pengendalian dan kuasa pecutannya pula?

Secara jujurnya, penulis sebenarnya cukup teruja selepas menguji jentera ini di lebuh raya antara Tol Gombak sehingga Tol Bentong.

Dari segi pengendaliannya, jentera ini seolah-olah jentera lumba yang sesuai digunakan di jalan raya biasa. Setiap selekoh memberi kawalan yang stabil.

Posisi hendal yang rendah dan ke dalam, membuatkan penulis seolah-olah memeluk jentera ini sekali gus mudah untuk melayan selekoh dengan baik.

Pada kelajuan tinggi di selekoh, suspensi depan dan belakang berfungsi dengan baik dan patuh arahan yang diberikan, selain memudahkan lagi kawalannya.

Bagi enjin 1 liter ini, prestasinya boleh dikatakan agak baik. Bagi menguji kuasanya itu pada gear enam dengan kelajuan 110km/j, penulis tidak perlu menukar gear rendah untuk memecut sehingga melebihi 200km/j dalam masa yang singkat.

Dengan bantuan Quick Shifter Downshift Assist, ia menjimatkan masa ketika penukaran dari gear tinggi ke gear rendah.



Cuma, rpm jentera ini rasa sedikit tinggi kerana ia benar-benar sebuah jentera yang berprestasi dan kuasa dibekalkan tidak kedekut apabila dikerahkan dengan segera.

Pada masa sama, ia mempunyai tiga mod yang sesuai mengikut gaya tunggangan. Penulis rasa sedikit kekurangan pada mod itu kerana ia menunjukkan angka untuk membezakannya, tidak seperti motosikal lain yang memaparkan perkataan seperti ‘Normal’, ‘Race’ dan sebagainya.

Ia boleh diubah pada butang pada hendal kiri dan paparannya boleh dilihat pada meter kelajuan TFT yang mempunyai pelbagai maklumat untuk diberikan kepada penunggang. Cuma ada sedikit kekurangan, kerana penunjuk bahan api, cuma ada lampu amaran jika kekurangan petrol.

Seperti dalam perlumbaan, brek biasa dan enjin juga sangat diperlukan untuk memberhentikan jentera dengan cekap. Seperti CBR1000RR Fireblade SP, ia turut memberi brek enjin yang bagus bagi mengurangkan kelajuan lebih-lebih lagi sebelum memasuki selekoh tajam.



Kesimpulan

Secara kesimpulannya, jentera ini memiliki karakter seperti jentera lumba yang boleh digunakan di jalan biasa, lebih-lebih lagi ia hanya sesuai ditunggang secara bersendirian.

Advertisement