Anggota One Nation Emcees, Jojo mendedahkan dirinya pernah diuji disaat sedang mendekatkan diri dengan Allah.

Jojo menerusi temubualnya bersama radio Zayyan berkata, dia pernah diuji dengan wanita yang mengajaknya melakukan hubungan intim.

Cerita bermula apabila wanita tersebut yang juga sahabatnya memanggilnya ke sebuah hotel untuk berkongsi masalah dihadapi.

Bagaimanapun sebaik tiba di hotel wanita tersebut mempelawanya masuk ke dalam bilik dengan pakaian yang terdedah.

Jojo berkata, dia menerima pelawaan masuk ke dalam bilik kerana sahabatnya itu memberitahu tidak akan mengambil masa yang lama.

“Sampai di hotel, bila masuk pintu dia hanya pakai t-shirt sahaja. Jadi saya yang dah berubah masa tu terfikir, kenapa jadi macam ni?

“Tapi perempuan tu kata, tolong lah…sekejap saja. Saya fikir dia mungkin nak cerita masalah dia dan saya ikut permintaan dia.

“Tetapi masa tu, dia ajak saya buat sesuatu yang disentuh. Masa tu lah saya rasa macam sedang diuji. Perasaan saya ketika itu nak buat atau tidak.

“Kalau buat dulu…Taubat nanti, tapi masa tu saya fikir kalau buat ni nanti Allah murka. Jadi saya minta diri ke tandas dan terus ambil air sembahyang.

“Lepas tu saya terus solat, masa tu jam tiga pagi…Saya buat solah Tahajjud. Dia pun macam terkejut dan selimutkan diri dia, mungkin kerana malu.

“Dalam solat, saya mohon pada Allah supaya ampunkan dosa saya sebab saya takut. Tapi Alhamdulillah, kawan saya itu pun dah bertudung sekarang,” kata Jojo mengimbas kembali perjalanan hidupnya menjadi muslim sejati.

Tahun lalu Jojo pernah mendedahkan dirinya pernah tersasar jauh sehingga membelakangkan soal agama.

Jojo mengakui tidak pernah solat kira-kira 20 tahun, namun mula melibatkan diri dalam aktiviti keagamaan selepas ‘berhijrah’ sejak tiga tahun lalu.