Laman Utama

"Dia Kata 'Alah Tak Luak Pun'" - Fikry Ibrahim Diganggu Secara Seksual Ketika Tukar Baju Di Set, Minta Jangan Normalisasikan!

gempak
Amri Hassan
02/04/2022
09:53 MYT
Sponsor Banner
"Dia Kata 'Alah Tak Luak Pun'" - Fikry Ibrahim Diganggu Secara Seksual Ketika Tukar Baju Di Set, Minta Jangan Normalisasikan!
Pelakon drama bersiri Nusyuz Berkiblat Cinta, Fikry Ibrahim memberitahu dirinya pernah menerima gangguan oleh seorang wanita ketika sedang cuba menukar baju ketika penggambaran sebuah drama sebelum ini.
Kongsi Fikry, cara wanita terbabit menegurnya dianggap satu gangguan seksual yang tidak sepatutnya berlaku tanpa mengira jantina.
"Ada ketika di satu set shooting saya tengah tukar baju, seorang perempuan masuk ke dalam bilik dan saya terpaksa tunggu dia keluar dahulu.
"Tapi, katanya kepada saya 'alah tak luak pun'. Cuba kalau saya cakap benda sama kepada dia adakah itu dianggap gangguan seksual atau tidak?
"Bukan itu saja, banyak lagi gangguan yang berlaku secara lisan yang kita tidak sedar. Kalau berjalan di luar pun ada juga terjadi.
"Saya sensitif dengan perkataan, bagi saya kalaulah benda sama saya cakap, adakah awak boleh terima? Adakah boleh cakap begitu sebab saya lelaki?
"Bukan saya sentap, tapi tak perlu dinormalisasikan kerana dari lisan akan menjurus ke arah perbuatan pula," katanya pada sesi sidang media maya drama terbaharunya Nusyuz Berkiblat Cinta.
Tegas Fikry, buli yang bersifat gangguan seksual itu boleh memberikan kesan kepada seseorang secara mental dan emosi.
"Ia memberi kesan kepada seseorang secara tidak langsung. Ia pernah terjadi kepada saya dan tidak mustahil juga kepada orang lain.
"Selalu kita dengar berlaku kepada golongan wanita. Tapi tanpa disedari ia berlaku kepada golongan lelaki juga.
"Sebagai contoh kalau kita puji bahagian tertentu di badan perempuan itu sensitif, tapi bila dicakapkan kepada lelaki ia dianggap normal. Sedangkan subjek yang dibincangkan adalah sama.
"Ia bukan membuli secara fizikal tetapi secara emosi. Saya tiada rasa terlampau sensitif tetapi bagi orang lain ia boleh mengaibkan atau menjatuhkan maruah atau boleh menyebabkan kemurungan.
"Kadang-kadang kita nak ketengahkan kesamaan jantina pada masa sama sebenarnya kita menolak kesamaan jantina," katanya mengulas mengenai pengalaman buli yang pernah dilaluinya sebelum ini.
Dalam drama Nusyuz Berkiblat Cinta, Fikry yang menyandang peranan sebagai Adam juga menjadi mangsa 'buli' yang didera pasangannya, Hawa (lakonan Emma Maembong).
"Isu yang dipaparkan dalam drama ini sering berlaku dalam masyarakat kita. Jadi drama ini patut dijadikan pengajaran agar masalah sama tidak berlaku," ujarnya.
Nusyuz Berkiblat Cinta arahan Hadith Omar turut menampilkan Nadhir Nasar dan Shaza Bae.
Drama hebat ini akan bersiaran pada pukul 9 malam setiap hari Ahad bermula 3 April ini di saluran Astro Ria.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024