Laman Utama

“Dia Sangat Bagus Cuma Masalahnya…”- Daqmie Puji Usaha & Kegigihan Nuha Bahrin Menyanyi Lagu Casablanca

gempak
Mya Amri
29/09/2022
05:30 MYT
Sponsor Banner
“Dia Sangat Bagus Cuma Masalahnya…”- Daqmie Puji Usaha & Kegigihan Nuha Bahrin Menyanyi Lagu Casablanca
Komposer lagu popular Casablanca, Azmee Abdul Manap atau lebih dikenali sebagai Daqmie memuji kesungguhan penyanyi, Nuha menyanyikan lagu tersebut secara langsung.
Daqmie berpendapat, Nuha tidak mempunyai masalah untuk menyanyi cuma apabila terlalu berfikir untuk memberikan yang terbaik menyebabkan perkara itu adakalanya mengganggu persembahannya.
“Bagi saya Nuha dan Naufal bagus. Nuha ini akan menjadi lebih baik selepas dua tahun. Dia tidak mempunyai masalah cuma terlalu banyak berfikir masa menyanyi.
“Macam Naufal dia seorang budak yang lurus jadi dia ikut sahaja. Macam Nuha dia pula perempuan, saya ada anak perempuan jadi saya tahu gayanya bagaimana.
“Banyak akal dan terlalu berfikir, takut itu tidak kena ini tidak kena. Jadi bila terlalu banyak berfikir benda itu akan menganggu persembahan nyanyiannya. Konsentrasi itu penting.
“Dia juga ada guru vokal, jadi bila saya tanya kepada guru vokalnya, jawapan dia sama, Nuha banyak berfikir.
“Nuha itu budaknya sangat bagus, cuma masalah dia adalah dia mahu buat yang terbaik tetapi dalam masa yang sama terlalu berfikir.
“Jangan, benda itu akan mengganggu. Jadi anda hanya patut terus menyanyi sahaja. Bagi saya siapa-siapa yang duduk atas pentas itu memang sudah hebat,” katanya ketika ditemui Gempak.
Daqmie ditemui selepas majlis pelancaran albumnya yang berjudul Sahabat Selamanya bertempat di FINAS, Kuala Lumpur pada Rabu.
Dalam pada itu, mengulas mengulas mengenai majlis tersebut, Daqmie menyatakan rasa syukur kerana dapat bekerjasama bersama sahabat-sahabatnya dalam sebuah album.
“Idea untuk menghimpunkan sahabat-sahabat ini bertujuan untuk menarik kembali minat pendengar kepada irama nasyid tempatan selain sebagai penghargaan kepada kumpulan-kumpulan nasyid.
“Tiada kata yang dapat diluah melainkan syukur, semoga persahabatan yang digambarkan dalam bentuk dokumentasi seperti ini akan terus menjadi mata dan telinga yang sempurna serta mudah-mudahan terus mampu mendidik jiwa manusia di dunia serba fana,” ujarnya.
Album sulung dengan kandungan 10 buah lagu keluaran syarikat milik Daqmie sepenuhnya ini adalah satu projek khas yang mendapat kerjasama Universiti Utara Malaysia (UUM) bagi mengkaji dan meneliti perkembangan dan merudumnya industri muzik nasyid di Malaysia.
Album Sahabat Selamanya ini bakal menemui peminat di seluruh platform digital serta dimuat naik ke platform Youtube Daqmie Official pada 9 Oktober bersempena sambutan Maulidur Rasul.
Satu pasukan pengkaji dari School of Creative Industry Management & Performing Arts (SCIMPA) Universiti Utara Malaysia dibentuk bagi mendapatkan maklum balas dan masa depan industri nasyid tanah air dalam mengenal pasti faktor kemerosotan industri nasyid di Malaysia serta bagaimana untuk menaikkan semula populariti terhadap genre tersebut.
Album yang mendapat sokongan daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKOMM) menerusi Dana Kandungan Kreatif (DKD) ini menghimpunkan empat kumpulan nasyid popular tempatan iaitu Rabbani, Hijjaz, InTeam dan Mestica.
Penghasilan album beserta 10 muzik video nasyid ini terdiri daripada empat buah lagu popular asal setiap kumpulan yang diberikan nafas baharu dengan Daqmie berduet bersama mereka untuk setiap lagu.
Lagu tersebut adalah seperti Pergi Tak Kembali, Fatamorgana, Kasih Kekasih dan Layar Keinsafan.
Manakala, enam buah lagu baharu itu pula mendapat sentuhan komposer-komposer serta penulis lirik terkemuka seperti Datuk hajah Habsah Hassan, Alfa Booty, Tam Spider, Ad Samad, Aidit Alfian, Baiduri, Halim Ahmad, Keon, Isman Isam, Ito Lara serta Atie.
Enam buah lagu baharu tersebut pula berjudul Sahabat Selamanya, Apa Khabar Apa Cerita (Mestica), Tiada Tarikh Tamat (In Team), Manik-Manik Sejahtera (Rabbani), Sandiwara (Hijjaz) dan Masih Terlihat Senyummu (Daqmie).
Menariknya, lagu berjudul Sahabat Selamanya yang turut diangkat sebagai judul album, mendapat sentuhan Daqmie dengan kolaborasi bersama Alfa Booty.
Manakala liriknya pula dihasilkan oleh penulis lirik prolifik, Datuk Hajah Habsah Hassan. Lagu ini turut menyaksikan Daqmie serta keempat-empat kumpulan nasyid iaitu Rabbani, In Team, Mestica dan Hijjaz bergabung.
Selain Sahabat Selamanya, Daqmie turut menyanyikan sebuah lagi lagu baharu berjudul Masih Terlihat Senyummu.
Lagu tersebut mendapat sentuhan Aidit Alfian manakala liriknya pula oleh Atie.
Undi bintang digital dan content kegemaran anda di dalam carta mingguan Gempak Most Wanted 2022 di sini. Anda juga boleh membuat pencalonan baharu untuk carta mingguan seterusnya. Selamat mengundi!
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live