Pelakon popular Indonesia, Aura Kasih menceritakan pengalaman sepanjang menjalani proses penggambaran filem The Sacred Riana bersama ahli silap mata dan pakar ilusi terkenal, Marie Antoinette Riana atau lebih dikenali sebagai Sacred Riana.

Menurut Aura, dia akui berasa takut dengan Riana ketika mula-mula bertemu dengannya.

"Secara jujurnya, saya akui berasa takut ketika mula-mula bertemu dengan Rania kerana perwatakannya memang misteri.

"Saya ada menonton beberapa video dia melakukan silap mata di pentas sebelum ini, seperti semua sedia maklum, Riana memang hebat melakukan silap mata, namun perwatakannya memang membuatkan saya berasa takut," ujarnya.

Aura ditemui di tayangan dan sidang media filem The Sacred Rania bertempat di One Utama, Petaling Jaya hari ini.

Tambah Aura, dia memilih untuk tidak berkomunikasi secara langsung dengan Rania kerana ahli silap mata berkenaan sering tidak mempedulikan tegurannya.

"Saya ada tegur Rania beberapa kali, namun dia sering tidak mempedulikan teguran saya dan tak pernah bercakap, kalau ada pun dia hanya mengangguk atau melakukan isyarat sahaja.

"Jika ada urusan penting, saya akan berurusan dengan pengurus Riana sahaja, kemudian mereka akan berbincang untuk memberikan jawapan," jelasnya.

The Sacred Rania mengisahkan kanak-kanak bernama Riana yang sering dibuli kerana bapanya bekerja sebagai pembuat keranda dan ibunya merupakan seorang jurusolek mayat.

Pada suatu hari, Riana berpindah ke rumah bapa saudaranya kerana rumah mereka sekeluarga terbakar. Dari situ, bapa saudaranya menurunkan ilmu hitam pada Riana sehingga dia berubah menjadi seorang remaja misteri.

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan The Sacred Riana yang bakal menjengah pawagam seluruh Malaysia bermula 12 Disember 2019 ini.