Umum mengetahui naskhah filem yang bergenre gangsterisme banyak dihasilkan oleh pembikin-pembikin filem tempatan.

Sungguhpun dilambakkan dengan filem bertema sedemikian, namun, penonton masih lagi berminat untuk turun ke pawagam dan menyokong filem buatan tempatan.

Justeru, melihat kepada situasi berkenaan, syarikat produksi D’Ayu Pictures Sdn. Bhd. turut tampil dengan sebuah filem aksi komedi berjudul Daddyku Gangster.

Penerbitnya, Datuk Rosmarayu Mokhtar berkata, naskhah arahan Ismail Bob Hashim berkenaan boleh memberikan kepuasan kepada penonton dengan jalan cerita yang cukup menarik.

“Idea untuk mencetuskan filem ini timbul apabila melihat kanak-kanak terbiar tidak mempunyai ibu bapa yang meninggal dunia.

“Selain itu, saya juga mendapat inspirasi daripada filem Hollywood Fast And Furious 8 yang turut menerapkan elemen kekeluargaan, meskipun ia sarat dengan aksi,” ujarnya.

Tambah Rosmarayu, filem terbaru terbitannya itu menampilkan kelainan berbanding filem-filem gangster lain apabila ia mengetengahkan elemen kekeluargaan, terutama membabitkan hubungan dengan dua orang kanak-kanak dengan pakciknya yang sudah dianggap sebagai bapa.

Jelasnya, apa yang lebih istimewa, ia turut menampilkan barisan pelakon yang hebat dan dikenali ramai, termasuk Zul Huzaimy yang memegang watak utama sebagai penjaga kepada dua anak saudaranya setelah kematian abangnya.

“Biarpun tajuknya Daddyku Gangster, tetapi ia sebenarnya sesuai untuk ditonton oleh semua golongan termasuk seisi keluarga.

“Disebabkan itu, filem ini lebih mengetengahkan genre aksi komedi supaya ia tidak nampak sebuah naskhah yang nampak ganas,” jelasnya.

Selain Zul Huzaimy, pelakon lain yang membintangi Daddyku Gangster termasuklah Adeline Tsen, Faizal Hussein, Jay Iswazir, Ridzuan Hashim, Zalif Sidek, Reen Rahim, Azri Iskandar, Vanidah Imran, Alieff Irfan serta dua pelakon cilik Angelica Petra dan Arryyan Petra.

Menelan kos pembikinan kira-kira RM2.5 juta, Daddyku Gangster menjalani penggambaran di Kota Bharu, Pasir Puteh dan Bachok, Kelantan pada awal tahun 2020.

“Kalau ditanya tentang harapan pula, pastinya saya mengharapkan filem Daddyku Gangster mendapat sambutan hangat penonton.

“Malah, saya menyarankan supaya datang untuk menonton filem ini di panggung. Saya yakin merupakan sebuah filem yang sangat menghiburkan,” ujarnya.

Sementara itu, Ismail Bob selaku pengarah berkata, Daddyku Gangster merupakan naskhah yang cukup istimewa memandangkan ia merupakan filem ke-20 yang diarahkan sepanjang bergelar sutradara.

Ujarnya, menerusi filem ini, Ismail cuba menampilkan kelainan dengan mengangkat Zul Huzaimy untuk memegang peranan watak utama.

“Sebagai pengarah sudah tentu saya cuba sesuatu yang baharu. Misalnya, kita semua tahu Zul Huzaimy seorang pelakon hebat yang terkenal dengan watak antagonis.

“Untuk kali ini, saya cuba twist pula dengan menjadikan Zul Huzaimy pegang watak hero dan ternyata ia berjaya membawakan wataknya dengan berkesan,” ujarnya.

Ismail menambah, ada beberapa cabaran yang terpaksa dilalui sepanjang penggambaran termasuklah ketika kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19.

Ujarnya, pada pada masa itu penggambaran baru sahaja berlangsung selama dua minggu dan ia terpaksa dihentikan seketika.

“Kami mulakan penggambaran dalam bulan Mac 2020 dan lepas itu terus PKP sehingga kami terpaksa berada di hotel sahaja.

“Kemudian kami minta khidmat nasihat pihak polis dan dinasihatkan untuk pulang ke Kuala Lumpur dengan segera dan penggambaran hanya disambung semula pada bulan Julai,” ujarnya.

Filem Daddyku Gangster mengisahkan tentang Ray yang merupakan pencuri kereta mewah yang melibatkan diri dalam underground fight di gelanggang haram milik Pablo.

Konflik mula tercetus apabila dia terpaksa menjaga anak kepada abangnya, selepas abangnya serta isteri meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.

Filem Daddyku Gangster akan ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 1 Disember 2022.

Undi bintang digital dan content kegemaran anda di dalam carta mingguan Gempak Most Wanted 2022 di sini. Anda juga boleh membuat pencalonan baharu untuk carta mingguan seterusnya. Selamat mengundi!