Laman Utama

Dikatakan Tak Sesuai Promosi Tudung Sebab ‘Free Hair’, Nora Danish Imun Kecaman Netizen

gempak
Fiza Kamarudin
06/11/2021
05:41 MYT
Sponsor Banner
Dikatakan Tak Sesuai Promosi Tudung Sebab ‘Free Hair’, Nora Danish Imun Kecaman Netizen
Pelakon, Nora Danish mengakui menerima pelbagai reaksi positif dan negatif apabila dia tampil mempromosikan jenama tudung baru-baru ini.
Nora berkata, antara komen negatif yang diterima ialah imej ‘free hair’ dan sering tampil dengan imej seksi menyebabkan dia tidak sesuai dipilih untuk kempen tudung berkenaan.
Ada juga yang mempersoalkan mengapa perlu mengambil selebriti berpengaruh yang tidak bertudung untuk mempromosikan jenama tudung?
Isteri kepada Mohamad Nedim Nazri itu mengakui sudah imun dan kebal dengan segala kecaman daripada warganet.
"Menjayakan kempen tudung itu atau sebaliknya, saya percaya itu dinamakan rezeki. Saya percaya membuat sesuatu yang baik termasuk menjayakan jenama yang memerlukan pemakaian tudung ini tidak pernah ada salahnya.
"Mungkin suatu hari nanti, siapa tahu akan dibukakan hati saya ke arah itu (bertudung). Semua ini sama seperti kita mendoakan sesuatu yang diharapkan.
“Ini juga bukan kali pertama saya ditawarkan tugasan mempromosikan jenama tudung. Jadi saya sudah terbiasa dengan situasi sebegitu.
“Kecaman demi kecaman itu lumrah kehidupan manusia. Ia boleh terjadi bukan saja kepada artis tetapi semua golongan termasuk pendakwah dan ahli politik," katanya yang menjadi wajah kempen tudung bawal jenama MINAZ sejak Oktober lalu. Bagi ibu kepada dua cahaya mata Putra Rayqal Ramli Rizal Ashram, 12, dan Mohamed Neqayl Nedim, 3, baginya seksi itu bersifat subjektif.
"Bagi saya seksi atau sebaliknya, ia terletak atau bergantung kepada mata yang memandangnya. Kalau baik yang dilihatnya... maka baiklah jadinya. Kalau gatal pandangannya, maka gatallah.
"Yang penting, saya hanya ingin menjadi diri sendiri. Tetapi, saya nak ucap terima kasih kepada netizen yang memberi komen membina. Saya sayang anda semua.
"Insya-Allah, doa baik-baik. Bagi kelompok netizen yang tahu dan asyik nak kecam saja, hentikanlah. Perbuatan buli siber tidak baik sebenarnya," katanya.
Tambah Nora lagi, dia tidak mahu memberatkan fikiran dengan hal negatif.
"Saya memang kebal bab kecaman ini. Saya tak baca mana mana komen atau blog yang menghentam atau cari silap.
"Kalau saya tahu pun cerita ini daripada kawan atau rakan media yang mengajukan soalan berkaitan. Tapi tak apalah, tak perlu saya ambil peduli. Ia seperti menghabiskan tenaga untuk perkara tak perlu.
"Malah saya pada satu tahap tak menyekat pun akses atau memadamkan komen negatif ditinggalkan warganet. Kadang kadang tak perasan pun sebab terlalu banyak komen," katanya.
Sementara itu, Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif jenama MINAZ, Hafiza Abd Hamid atau lebih dikenali dengan nama Pija MINAZ menyatakan keputusannya memilih Nora mempromosikan kempen Blossom 2.0 adalah tepat.
"Hari pertama ketika Nora didedahkan sebagai wajah kempen di media sosial termasuk Instagram rasmi pun memang ramai yang beri maklum balas berbaur positif dan negatif.
"Ada di kalangan peminat bertanyakan kenapa saya perlu pilih Nora kerana tak sesuai penampilan sebenarnya dengan tudung dipakai.
"Saya di maklumkan oleh tim saya sehingga kan ada yang nak boikot dan tidak mahu menyokong lagi keluaran produk kami. Pada saya, lebih gemar untuk memandang sesuatu perkara itu pada sudut yang positif.
"Ada juga yang suka dengan pemilihannya sebagai wajah kempen. Stokis dan agen pun suka sebab Nora sendiri punyai ramai pengikut di Instagram," katanya. Graduan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan, UiTM Shah Alam bertukar ke dunia fesyen itu berkata, pemilihan Nora yang berwajah lembut dan manis sekaligus kena dengan konsep bunga pada rekaan tudung.
"Personaliti Nora ceria dan mudah didekati. Saya yakin boleh pengaruh ramai lagi wanita mengenali jenama kami dan sertai keluarga MINAZ Hijab. Semua maklum balas baik yg positif atau negatif kami terima dengan hati yang terbuka.
"Tapi siapa tahu suatu hari nanti, usaha ini membuka hatinya untuk bertudung dan memilih jenama ini untuk menyuntik semangat. Malah kurang satu jam ketika dibuka untuk pra tempahan 25 Oktober lalu, sebanyak 150,000 helai tudung bawal kempen membabitkannya terjual.
"Ia sekaligus buka ruang untuk bantu lebih 4,000 agen dan stokis seluruh Malaysia jana pendapatan dari rumah di era pandemik COVID-19. Kempen ini akan dilancarkan pada 8 November ini," katanya.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024