Buat peminat Search, ini pastinya sesuatu yang dinanti-nanti.

Pemain gitar Search, Noordin dan Kid kini tampil dengan Rockology Search : Kid’Din Collection Series yang mengandungi 17 barangan istimewa dalam satu Rockobox.

Rockobox istimewa itu antaranya mengandungi CD berkembar digipak yang menampilkan 22 lagu Search yang diremastered serta satu trek bonus menampilkan solo gitar Noordin.

Selain itu turut disertakan buku lirik 16 muka surat, sijil Authentic boxset yang ditandatangani Noordin dan Kid lengkap dengan nombor siri, booklet 16 muka surat diskografi Search, sekeping Search X Awie Apologia Concert Repertoire, Red bandana, t-shirt, kalendar meja, poster, poskad dan banyak lagi.

Penerbit dan pemilik Home Of Champions, Mozylir Mokhtaruddin berkata, idea menghasilkan Rockology Search : Kid’Din Collection Series ini diilhamkan Noordin ketika situasi penularan Covid-19 di negara ini dalam keadaan membimbangkan.

“Ketika itu konsert dan persembahan Search ditunda dan dibatalkan berikutan penularan Covid-19. Selepas mengambil kira beberapa faktor, saya, Noordin dan Kid sebulat suara untuk mengeluarkan kompilasi lagu berat dan ballad terbaik yang dipilih sendiri oleh Noordin dan Kid.

“Ia dihasilkan khas dalam bentuk boxset bersama 17 barangan istimewa khas buat peminat Search,” katanya.

Sementara itu, Noordin berkata, semua lagu berkenaan adalah daripada album Search yang diterbitkan syarikat Go Search Sdn Bhd.

“Pada Mac 2020, Amy secara rasmi mengumumkan dia berundur dari Search untuk memberi peluang kepada anggota Search yang lain meneruskan aktiviti kumpulan ini.

“Proses remastered semua lagu ini kami lakukan mengikut prosedur yang betul. Lagipun saya dan Kid ada hak kerana hari ini kami masih anggota Search,” katanya.

Noordin berkata, dia juga merancang untuk merakamkan semula lagu-lagu Search pada masa akan datang dengan menggunakan khidmat penyanyi dan pemain bass yang lain.

Ditanya mengenai pemilihan lagu-lagu ini, Noordin berkata, semuanya menampilkan sound dan teknik permainan gitar terbaik yang pernah dia dan Kid rakamkan dalam album-album Search.

“Ia adalah rakaman gitar terbaik daripada kami berdua. Ia dari segi teknik, sound dan solo gitar,” katanya.
Rockology Search : Kid’Din Collection Series hanya dikeluarkan sebanyak 500 unit dan mula dijual secara dalam talian mulai 17 November 2021 dengan harga RM299.

Ia boleh dibeli di laman web www.fenomenasearch.com, Facebook Home Of Champions, Instagram @homeofchampions.store atau WhatsApp 016-2704544.

Selain itu, pembeli turut berpeluang memenangi cabutan bertuah yang menampilkan tiga hadiah hebat iaitu Gema Di Timur Jauh custom made guitar (Noordin signature series), Rampage custom made guitar (Kid signature series) dan penginapan dua hari satu malam di Hotel Hard Rock, Desaru Coast, Johor.