Pelakon Adrea Abdullah tampil memberi penjelasan di laman sosial Tik Toknya selepas dikatakan sengaja menjaja cerita buruk di lokasi penggambaran.

Adrea berkata, dia hanya menceritakan pengalamannya, malah tidak ada sebarang nama disebut ketika rakaman dibuat.

“Saya cerita pengalaman saya berlakon drama, benda tu berlaku lebih daripada 15 tahun lepas. Korang takkan tahu siapa, melainkan krew dan pelakon yang ada di set penggambaran ketika itu.

“Saya tak pernah sebut nama sebab tak ada niat nak mengaibkan orang, saya pun tak sempurna. Siapa saya untuk dedahkan nama dia (pelakon).

“Malah, ada juga yang hantar mesej peribadi, mesej tanya siapa. Sampai ke sudah saya tak bagitahu, sebab itu bukan tujuan saya.

“Saya kongsi untuk iktibar, untuk suka-suka,” katanya.

Dalam pada itu di hantaran lain, Adrea mengambil keputusan untuk menutup ruangan komen kerana enggan bahan yang dimuat naik menjadi fitnah.

“Minta maaf saya terpaksa tutup ruangan komen sebab ramai sangat petik nama, jadi saya tak nak benda tu jadi fitnah.

“Lagipun ramai juga yang minta saya berbuat demikian. Walaupun 99.9% menghantar pesanan menghiburkan saya dan rasa dihargai, tapi ada juga yang tak happy dengan perkongsian saya.

“Jadi daripada jadi fitnah dan benda negatif saya tutup je lah. Tapi Insya-Allah saya akan kongsi more content.

“Biarlah ini jadi iktibar, tak perlulah kita buat andaian yang bukan-bukan. Jadikan pengajaran yang benda ni boleh berlaku dalam industri apa pun.

“Jangan serius sangat, chill sudah,” katanya.

Terdahulu penerbit dan pengarah Shahrulezad meluahkan rasa kesal terhadap seorang pelakon wanita yang didakwa menjaja cerita buruk di lokasi penggambaran.

Shahrulezad atau lebih dikenali sebagai Budak Ejat bagaimanapun tidak mendedahkan nama pelakon tersebut.

[[BACA: Pelakon Wanita Rancak Cerita Buruk Pasal Rakan Seindustri Di TIk Tok, Pengarah Shahrulezad kecewa]]