Laman Utama

Diusik Kembali Bersama Shila Amzah? Sharnaaz Ahmad; "Saya Tak Akan Kata Tak, Tak Kata Ya, Serah Pada ..."

gempak
Amri Hassan
10/03/2022
03:55 MYT
Sponsor Banner
Diusik Kembali Bersama Shila Amzah? Sharnaaz Ahmad; "Saya Tak Akan Kata Tak, Tak Kata Ya, Serah Pada ..."
Pelakon Sharnaaz Ahmad tidak mampu menghalang doa dari peminat dan pengikut media sosialnya untuk kembali menjalinkan hubungan istimewa dengan Shila Amzah.
Jelas Sharnaaz, 36, dia terbuka dan menerima usikan ramai untuk kembali bersama dengan bekas kekasihnya itu dengan berlapang dada.
"Orang mendoakan yang baik, bukannya tak baik. Jadi kita terima sajalah. Tapi, yang nak tentukan itu adalah Allah SWT. Tapi terima kasih atas doa-doa yang baik itu.
"Cuma, kita tak boleh ramal apa akan jadi pada masa depan.Kalau ada, adalah. Kalau tak ada, nak buat macam mana? Saya akan ‘keep my windows open’(terbuka) kepada sesiapa sahaja.
"Saya tak berani nak janjikan apa-apa. Saya tak akan mengatakan tidak atau mengatakan ya. Serah pada Dia (Allah)," katanya kepada Gempak.
Sharnaaz ditemui pada majlis prarasa bufet ramadan di Cili Kampung, Hartamas, Kuala Lumpur pada Rabu.
Ditanya tentang kesediaannya untuk berdamai dengan individu di sekeliling Shila termasuk ahli keluarga penyanyi wanita itu, jawab Sharnaaz ringkas; "Tak tahulah, kalau nak berdendam pun dah tua sangat dah kot."
Dalam pada itu, Sharnaaz mengakui kembali berhubung sebagai sahabat dengan Shila dan saling memberikan kata-kata semangat kepada satu sama lain.
"Terus-terang, kami ada saling mesej. Dia melalui fasa yang pernah saya alami, perceraian. Mungkin sesekali dia nak dapatkan pendapat dan kami berbual. Sebenarnya, daripada dulu kami tak pernah bermusuh.
"Saya cuma ada isu dengan ibu bapa dia saja, waktu itu. Tapi bagi saya, dah lama sangat dah. Nak berdendam pun untuk apa? Kami ada berbual dan dia ada bertanyakan bagaimana saya lalui pengalaman dulu sewaktu gagal dalam alam rumah tangga.
"Bagi saya, orang akan selalu bercakap dan hanya kita sahaja yang tahu diri sendiri. Hanya kita sahaja yang boleh buat diri sendiri bahagia. Nak bunuh semua kata-kata nista orang itu, buktikan dengan kejayaan," ujarnya.
Mengulas kembali mengenai ciapan kata-kata semangat dan tahniah buat Shila pada kemenangannya di pentas Anugerah Juara Lagu ke-36 baru-baru ini, Sharnaaz memberitahu penyanyi itu selayaknya menerima kata-kata pujian.
"Tapi bukan dia seorang sajalah, rata-rata yang bertanding pada malam itu pun adalah kawan saya juga. Saya doakan kejayaan buat mereka semua.
"Sebenarnya, kalau nak tahu, genre muzik yang dibawakan oleh Shila di AJL36 itu adalah genre sebenar yang dia paling suka.
"Sejak kami bercinta dulu, saya tahu, memang itulah dia. Shila cukup suka genre muzik seperti kumpulan Evanescence. Tapi biasalah, dulu ada tangan-tangan ghaib yang mengawal dia, jadi tak diberikan peluang itu.
"Tapi, tempoh hari, dia dapat peluang itu. Dia menyanyi dengan baik sebab benar-benar menjiwai. Akhirnya, kejayaan milik dia," tambahnya.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024