Juara Gegar Vaganza 3 (GV3), Azharina Azhar mendedahkan dia diduga dengan beberapa ujian sepanjang kedatangan Ramadan tahun ini.

Kata pelantun lagu Elegi Sepi itu, baru-baru ini dia terpaksa menutup bisnes kepak ayamnya kerana beberapa pekerja miliknya ditangkap oleh penguatkuasa imigresen.

"Tiga orang pekerja saya ditahan pihak imigresen kerana salah saya sendiri yang tidak sempat menguruskan permit kerja mereka.

"Imigresen datang sendiri ke kedai dan tangkap mereka sampai saya buntu nak cari pekerja lain menggantikan tempat mereka.

"Jadi, bisnes kepak ayam madu saya terpaksa ditutup buat masa ini," katanya kepada Gempak.

Perniagaan kepak ayam madu itu dijalankan Azharina pada mulanya sebagai suka-suka sejak Ogos tahun lalu di sebuah restoran di Puchong.

Sempena kedatangan Syawal tahun ini, Azharina mengambil inisiatif untuk mencuba peluang berniaga di bazar Festival Putrajaya.

Sementara itu, Azharina juga dikejarkan ke wad kecemasan sebuah hospital akibat serangan gastrik yang kronik.

"Saya tujuh kali muntah tak henti-henti sampai ditahan di wad kecemasan selama beberapa jam.

"Mungkin ini dugaan Ramadan saya dan memang seksa tetapi Alhamdulillah semuanya sudah okey sekarang. Semoga dosa-dosa saya diampunkan," katanya yang turut susut berat badan ekoran kejadian tersebut.