Penyanyi dan pelakon Amira Othman memaklumkan bahawa dia memilih untuk menjalani kuarantin kendiri biarpun bukanlah merupakan individu yang disenarai sebagai kontak rapat kepada penyanyi Alif Satar.

Bahkan, Amira atau nama sebenarnya, Nadia Amira Othman, 27, berkata, dia juga membuat keputusan untuk membatalkan penglibatannya dalam sebuah penggambaran bersama sebuah syarikat produksi.

"Hari ini (semalam) saya ada penggambaran dengan @globalstationsb sepatutnya, tapi atas kebaikan bersama saya terpaksa lepaskan kerja ni.

"Walau saya tak ada kontak rapat dengan abang Alif, tapi masih saya rasa bertanggungjawab sebagai orang yang sama-sama kena kuarantin sebab melibatkan orang lain sekiranya apa-apa hal kan," katanya menerusi satu hantaran di Instagram.

Menurut Amira, dalam situasi sekarang, apa yang lebih penting adalah kesihatan dan nyawa yang menjadi pertimbangan utamanya.

"Duit boleh cari, kesihatan dan nyawa kita ini Allah beri kenalah jaga elok-elok. Jadi, stay safe semuanya! Jangan salam-salam atau peluk-peluk bagi yang perempuan.

"Tolong jaga diri masing-masing. Minta maaf pada pihak produksi yang terpaksa lewat hari ini sebab tunggu keputusan saya. InsyaAllah semua yang baik-baik. Ada rezeki lain nanti Insya-Allah," tulisnya.

A post shared by @amiraaothman


Terdahulu, Amira turut terlibat dalam sebuah program hiburan yang disiarkan secara langsung pada Sabtu lalu.

Bagaimanapun, pelantun lagu Takkan Merubah itu membuat persembahan pada hari yang berbeza dengan Alif Satar.

Di ruangan komen, rata-rata memuji tindakan yang diambil Amira.

"Ini adalah keputusan yang bagus. Rezeki ada di mana-mana dik.. Allah jaga kita..

"Jaga diri adik! Insya-Allah ada rezeki drama selepas ini," komen sebahagian pengikutnya.

Terdahulu, dalam satu hantaran di Instagram, syarikat pengurusannya, Rocketfuel Entertainment turut memaklumkan kesemua artis naungan mereka lain yang turut terlibat pada program hiburan yang disertai Alif baru-baru ini disahkan negatif selepas membuat ujian saringan.

"Walaupun tidak diharuskan menjalani proses kuarantin, pihak Rocketfuel akan sentiasa memantau perkembangan semasa artis kami," katanya.

Sebelum ini, pada Ahad lalu, Alif Satar disahkan positif selepas menyertai sebuah program hiburan yang disiarkan secara langsung Jumaat lalu.